Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti pasaran dijangka kekal perlahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI), iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 50 bagi Jun 2024, berikutan nilai 49.9 yang dilaporkan pada Mei.

    Indeks itu menunjukkan bahawa perniagaan sektor swasta secara amnya menjangka keadaan perniagaan yang lebih kurang sama pada Jun 2024 berbanding bulan sebelumnya.

    Hasil kaji selidik menunjukkan aktiviti pasaran dijangka kekal perlahan disebabkan oleh acara tempatan yang berkurangan pada Jun 2024 yang seterusnya menyumbang kepada penurunan tahap jualan serta kecenderungan pengguna tempatan untuk berbelanja di negara-negara jiran.

    Sentimen pesimistik juga dicatat oleh beberapa sektor seperti sektor pembinaan, di mana perniagaan yang terlibat dalam projek-projek kerajaan mengongsikan kebimbangan terhadap pembayaran yang tertangguh semasa tempoh penstabilan sistem. Walau bagaimanapun, terdapat juga sentimen optimistik bagi perniagaan yang mendapat pengesahan projek-projek baharu bagi Jun 2024.

    Indeks bagi satu bulan ke hadapan berada pada tahap 50, menunjukkan para peniaga menjangka prestasi keseluruhan yang lebih kurang sama pada Julai 2024 disebabkan pelaksanaan projek-projek yang sedia ada dan mengambil kira hari-hari kelepasan awam pada bulan Julai tersebut.

    Gambar menunjukkan indeks bagi Jun 2024. – GAMBAR SERAHAN BDCB

    Manakala, beberapa perniagaan yang terlibat dalam pesanan perniagaan dan projek-projek berkaitan dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengongsikan jangkaan bahawa prestasi perniagaan akan bertambah baik bagi Julai 2024.

    Dapatan tersebut adalah dari BSI bagi Negara Brunei Darussalam untuk Jun 2024 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), baru-baru ini.

    BSI adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 perniagaan bersaiz mikro kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi di semua daerah negara ini.

    Sub-indeks Pelaburan adalah 50 bagi Jun 2024, 50.1 untuk satu bulan ke hadapan dan 50.5 bagi tiga bulan ke hadapan yang menunjukkan secara amnya, para peniaga merancang bagi mengekalkan tahap pelaburan pada Jun 2024, terutamanya kerana mereka masih mempunyai stok dari pembelian sebelum ini dan mempunyai mesin dan peralatan yang mencukupi untuk projek-projek dan operasi yang sedang berlangsung.

    Bagi beberapa bulan akan datang, perniagaan merancang untuk meningkatkan pelaburan seperti membina kemudahan baharu, memperluaskan premis perniagaan, membuka cawangan baharu dan membeli mesin dan peralatan baharu bagi meningkatkan tahap pengeluaran dan sebagai persiapan untuk projek-projek pada masa akan datang.

    Sementara itu, Sub-indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.2 bagi Jun 2024 dan bagi satu bulan ke hadapan. Meneruskan trend seperti sebelumnya, para peniaga mengongsikan usaha berterusan dalam pengambilan pekerja untuk memenuhi keperluan operasi mereka dan mengganti pekerja yang berhenti.

    Manakala Sub-indeks Kos Perniagaan adalah 49.6 bagi Jun 2024 dan 49.9 bagi satu bulan ke hadapan di mana secara amnya, para peniaga menjangka kos perniagaan akan menurun pada Jun dan Julai 2024, selaras dengan aktiviti pasaran yang perlahan dan penurunan tahap penjualan.

    Namun, hasil kaji selidik menunjukkan sektor minyak dan gas dan yang berkaitan telah mempengaruhi sub-indeks ini dengan ketara, di mana aktiviti penyelenggaraan yang berakhir pada pertengahan Jun 2024 menyebabkan kos perniagaan menurun berbanding Mei 2024.

    Sementara itu, sektor lain menjangka peningkatan dalam kos perniagaan, mengambil kira kenaikan dalam kos pembayaran gaji pekerja disebabkan oleh pengambilan pekerja pada Jun dan Julai 2024.

    Dari segi sektor ekonomi, tiga daripada 11 sektor menjangka keadaan perniagaan yang sedikit optimistik pada Jun 2024. Hasil kaji selidik menunjukkan pandangan yang berbeza dalam sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan.

    Beberapa perniagaan mengongsikan sentimen optimistik dengan jangkaan peningkatan permintaan bagi sayuran dan ayam itik, serta peningkatan dalam hasil tangkapan ikan. Manakala, perniagaan lain menjangka keadaan yang lebih kurang sama, meskipun adanya sambutan Hari Raya Aidiladha.

    Di samping itu, sektor kesihatan dan pendidikan serta sektor perkhidmatan lain berpandangan sedikit optimistik terhadap prestasi perniagaan kerana berkurangnya hari kelepasan awam berbanding dengan Mei 2024. Sebaliknya, empat sektor menjangka keadaan perniagaan akan merosot pada Jun 2024.

    Sektor perdagangan borong dan runcit dan sektor pembuatan secara amnya mengongsikan jangkaan keadaan pasaran yang perlahan dan kelembapan dalam permintaan yang merupakan trend kebiasaan selepas musim perayaan.

    Sementara itu,beberapa perniagaan pula menunjukkan prestasi perniagaan menurun disebabkan pengguna tempatan yang cenderung berbelanja di negara-negara jiran.

    Sektor hotel dan restoran, yang prestasinya secara amnya dikaitkan dengan aktiviti domestik, berasa pesimistik disebabkan tidak ada acara pada Jun 2024 manakala sektor minyak dan gas dan yang berkaitan juga terjejas oleh aktiviti-aktiviti penyelenggaraan berjadual dan jangkaan kadar keuntungan yang lebih rendah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda