Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple janji buka sistem bayaran kepada pesaing

    LONDON, 11 JULAI – Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan bahawa ia menerima jaminan Apple untuk membuka sistem pembayaran ‘tap to pay’ iPhone kepada pesaing sebagai cara untuk menyelesaikan kes antipersaingan dan mengelakkan denda yang besar.

    Suruhanjaya Eropah, badan eksekutif dan penguatkuasa antipersaingan tertinggi EU, berkata hari ini ia menerima komitmen yang ditawarkan Apple pada awal tahun ini dan akan menjadikannya terikat secara sah.

    Suruhanjaya itu telah menuduh Apple pada tahun 2022 menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengehadkan akses kepada teknologi pembayaran perantinya.

    Apple membalas dengan mencadangkan pada Januari untuk membenarkan penyedia perkhidmatan dompet dan perkhidmatan pembayaran pihak ketiga mengakses fungsi pembayaran tanpa sentuh dalam sistem operasi iOSnya.

    Selepas Apple mengubah suai cadangannya berikutan ujian dan maklum balas, Suruhanjaya berkata ia ‘memutuskan bahawa komitmen akhir Apple akan mengatasi kebimbangannya mengenai persaingan.’

    Perubahan yang dibuat oleh Apple akan kekal berkuat kuasa selama satu dekad dan terpakai di seluruh 27 negara anggota blok itu serta Iceland, Norway dan Liechtenstein dan akan dipantau oleh seorang pemegang amanah.

    Apple berkata dalam satu kenyataan bahawa ia akan menyediakan pemaju Eropah dengan pilihan untuk membolehkan pembayaran dan transaksi tanpa sentuh untuk pelbagai aplikasi, sementara Apple Pay dan Apple Wallet akan terus tersedia untuk pengguna dan pemaju. – AP

    Gambar fail menunjukkan logo Apple di sebuah kedai di pusat bandar di Munich, Jerman, pada 16 Disember 2020. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda