Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia perkenal piagam baharu bayaran balik tunai penerbangan

    CANBERRA, 26 OGOS – Rakyat Australia kini layak menerima bayaran balik tunai bagi penerbangan yang dibatalkan atau mengalami kelewatan tidak munasabah, di bawah langkah baharu kerajaan untuk memperketatkan pengawalseliaan industri penerbangan.

    Menteri Pengangkutan, Catherine King, hari ini mengumumkan Kertas Putih Penerbangan yang memperkenalkan Piagam Hak Pelanggan baharu, bertujuan menjamin layanan adil dan wajar kepada pelanggan perkhidmatan penerbangan.

    Di bawah piagam berkenaan, sebuah ombudsman industri penerbangan akan ditubuhkan untuk menguatkuasakan hak pelanggan, termasuk kelayakan mendapatkan bayaran balik bagi penerbangan yang tergendala, dibatalkan atau mengalami kelewatan yang tidak munasabah.

    “Ramai rakyat Australia mengalami kesulitan apabila penerbangan dibatalkan atau terganggu, dan proses untuk mendapatkan bayaran balik atau menghubungi wakil syarikat penerbangan adalah sangat rumit,” kata King.

    “Pelanggan layak mendapatkan semula wang mereka jika mereka berhak menerimanya,” tambahnya.

    Kertas Putih Penerbangan itu menggariskan 56 polisi yang menetapkan hala tuju industri penerbangan, termasuk memperkenalkan piawaian minimum baharu untuk syarikat penerbangan dalam usaha menjadikan perkhidmatan mudah diakses kepada pelanggan, terutamanya bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

    Langkah-langkah untuk meningkatkan persaingan dalam industri penerbangan juga akan diperkenalkan, termasuk mempermudah proses untuk syarikat penerbangan baharu mendapatkan slot di lapangan terbang Australia serta memperkenalkan peraturan pematuhan moden dengan penalti bagi tingkah laku anti-persaingan.

    Ombudsman itu juga akan mempunyai kuasa untuk merujuk tuduhan salah laku kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan penguatkuasaan lanjut. Biro Penyelidikan Ekonomi Infrastruktur dan Pengangkutan (BITRE) akan menerbitkan lebih banyak data mengenai prestasi dan tahap persaingan syarikat penerbangan. – Xinhua

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda