Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ayam masak lemak cili api kegemaran ramai

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Ayam masak lemak cili api merupakan hidangan tradisional Melayu yang terkenal dan antara hidangan pilihan yang sering dijadikan sebagai santap makan tengah hari mahupun makan malam. Ia merupakan hidangan ayam yang dimasak dengan santan dan rempah-ratus, menghasilkan kuah yang pekat dan berkrim. Manakala bahan-bahan kisar seperti bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit memberikan rasa yang kaya dan kompleks.

    Hidangan ini terkenal dengan kepedasan ayam yang diperoleh daripada cili api. Namun rasa pedas itu boleh disesuaikan mengikut cita rasa masing-masing. Selain ayam, hidangan ini juga boleh diubahsuai dengan menambah bahan lain seperti terung, labu atau buah keras.

    BAHAN-BAHAN

    Bercerita secara ringkas, antara bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ayam masak lemak cili api ini adalah satu ekor ayam yang dipotong kepada bahagian kecil, 200 ml santan pekat, dua sudu besar minyak masak, dua batang serai yang diketuk, empat helai daun limau purut yang disiat, satu daun kunyit yang disiat, satu sudu besar serbuk kunyit, satu sudu kecil garam, satu sudu kecil gula dan dua biji tomato.

    Manakala bahan-bahan kisar adalah seperti, 10 biji cili api (ikut tahap kepedasan yang diingini), lima ulas bawang putih, satu inci halia dan satu inci kunyit hidup atau ½ sudu besar serbuk kunyit.

    CARA PENYEDIAAN

    Mula-mula sediakan kuali lalu panaskan minyak masak dan tumis bahan-bahan kisar hingga harum, naik bau dan pecah minyak. Selepas itu, masukkan serai yang diketuk dan daun limau purut lalu kacau hingga rata.

    Setelah itu masukkan potongan ayam ke dalam kuali dan kacau hingga ayam berubah warna.

    Setelah itu, tuangkan santan pekat dan kacau hingga rata, namun biarkan mendidih dengan api yang sederhana. Selepas itu masukkan serbuk kunyit, garam dan gula. Kacau dan biarkan ayam masak dengan sempurna hingga empuk. Jika kuah terlalu pekat, boleh tambah sedikit air.

    Seterusnya, tambahkan tomato dan daun kunyit, kacau dan masak selama beberapa minit sehingga tomato sedikit layu. Setelah ayam masak hingga sempurna dan kuah menjadi pekat, matikan api dan hidangkan ayam masak lemak cili api bersama nasi putih panas. Ia boleh juga dihidangkan bersama sambal belacan atau ulam-ulaman sebagai pelengkap mengikut cita rasa masing-masing. Selamat mencuba.

    Bahan-bahan:

    • 1 ekor ayam (potong kepada bahagian kecil)
    • 200 ml santan pekat
    • 2 sudu besar minyak masak
    • 2 batang serai (diketuk)
    • 4 helai daun limau purut (disiat)
    • 1 daun kunyit (disiat)
    • 1 sudu besar serbuk kunyit
    • 1 sudu kecil garam
    • 1 sudu kecil gula (ikut selera)
    • 2 biji tomato (dipotong)

    Bahan-bahan kisar:

    • 10 biji cili api (ikut tahap kepedasan yang diingini)
    • 5 ulas bawang merah
    • 3 ulas bawang putih
    • 1 inci halia
    • 1 inci kunyit hidup (atau 1/2 sudu besar serbuk kunyit)

    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda