Friday, November 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bakal berangkat ke Republik Peru

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Republik Peru yang dijangka pada 12 hingga 13 November, di mana keberangkatan ini adalah buat julung kalinya Baginda mengadakan Keberangkatan Negara ke republik berkenaan.

    Semasa di Lima, Peru nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, antara lainnya akan mengadakan perjumpaan bersama Presiden Republik Peru, Puan Yang Terutama Dina Ercilia Boluarte Zegarra, bagi mengesahkan kembali hubungan dua hala dan seterusnya menitikberatkan lagi kerjasama dalam bidang yang saling menguntungkan kepada kedua-dua buah negara.

    Negara Brunei Darussalam dan Republik Peru menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1 Jun 1990.

    Selepas keberangkatan negara tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan berangkat menghadiri Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 pada 15 hingga 16 November di Lima, yang mana Republik Peru selaku hos ekonomi, di bawah kepimpinan PYT Presiden Republik Peru.

    Dengan bertemakan Empower. Include. Grow, APEC 2024 bertujuan untuk memupuk kerjasama ekonomi dan teknikal yang lebih besar dalam kalangan ahli-ahli ekonomi APEC.

    Bidang-bidang keutamaan bagi mesyuarat kali ini termasuk menggalakkan pertumbuhan inklusif dan saling berkaitan melalui perdagangan dan pelaburan; memajukan inovasi dan pendigitalan bagi menggalakkan peralihan kepada ekonomi formal dan global; dan memastikan pertumbuhan mampan untuk pembangunan berdaya tahan.

    Peru sebelum ini pernah mempengerusikan APEC pada tahun 2008 dan 2016.

    GAMBAR FAIL INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda