Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BCF galak cipta kandungan tempatan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Hasil kandungan kreatif yang dikeluarkan oleh pencipta kandungan tempatan dan syarikat-syarikat produksi tempatan telah dipromosikan serta diketengahkan semasa berlangsungnya Tayangan dan Pameran Festival Kandungan Brunei (BCF) 2024 di Atrium, The Mall, Gadong, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan acara berkenaan adalah Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar, yang sekali gus berkesempatan mengadakan lawatan ke petak-petak pameran BCF tersebut.

    Dalam ucapan alu-aluan, Pemangku Penolong Ketua Eksekutif Kumpulan Pembangunan Industri, Dayang Siti Zaraura binti Haji Mohammad, antaranya menekankan objektif acara berkenaan untuk mempromosi dan menggalakkan penghasilan kandungan berkualiti tinggi oleh golongan pencipta kandungan tempatan dan syarikat produksi.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan AITI, wakil-wakil dari pihak kerajaan, industri penyiaran dan institusi pengajian tinggi (IPT).

    Acara yang diadakan selama tiga hari sehingga 4 Ogos ini turut mengalu-alukan kunjungan orang ramai untuk sama-sama menyaksikan tayangan-tayangan istimewa penyertaan Anugerah BCF 2024 yang merangkumi pelbagai kateogri iaitu Best Feature Film; Best Short Film; Best Advertisement; Best Public Service Announcement; Best Music Video; Best Drama; Best Horror; Best Comedy; Best Documentary; dan Best Short Film di bawah IPT.

    Sesi bergambar ramai semasa Tayangan dan Pameran BCF. – GAMBAR OLEH AZLAN OTHMAN
    Ir Haji Jailani semasa mengadakan lawatan ke petak-petak pameran BCF di Gadong, kelmarin. – GAMBAR OLEH AZLAN OTHMAN

    Pada acara perasmian berkenaan juga menampilkan pembentangan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Radio Televisyen Brunei; Pasukan Polis Diraja Brunei; dan Mahakarya Institute of the Arts Asia (MIAA).

    Antara pembentangan dan perbincangan panel yang akan dimuatkan sepanjang acara pada hari seterusnya merangkumi sumbangan daripada Jawatankuasa Penapisan Filem dan Hiburan Awam Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Pejabat Harta Intelek Brunei; Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Malaysia; Paperlane Media; dan Marhain Entertainment.

    Sementara itu, sepanjang pameran pada acara berkenaan telah menyaksikan penglibatan daripada golongan IPT dan syarikat produksi, termasuk Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS); MIAA dan Kolej Cosmopolitan; Oddbox Media & Communications Sdn Bhd; Paperlane Media; Marhain Entertainment; dan Anak Melayu Tempatan untuk mempromosikan kandungan, perkhidmatan dan kemahiran mereka.

    Sehubungan itu, Anugerah BCF 2024 akan diadakan pada 6 Ogos ini, yang bertujuan untuk mengiktiraf dan menganugerahkan pencipta kandungan tempatan atas kreativiti mereka, menggalakkan mereka menghasilkan kandungan berkualiti tinggi dengan potensi komersial bagi pengedaran dan pemasaran di platform media digital seperti OTT, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

    Tayangan dan Pameran BCF 2024 dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 10 malam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda