Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beribu-ribu petani India tunjuk perasaan di New Delhi

    NEW DELHI, 15 MAC – Beribu-ribu petani mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara India, kelmarin, untuk mendesak tuntutan mereka bagi undang-undang baharu yang akan menjamin harga tanaman minimum, selepas berminggu-minggu disekat daripada memasuki bandar itu.

    Mereka menaiki bas dan kereta api yang sesak dan bukannya traktor mereka ke New Delhi selepas pihak berkuasa menghalang lebuh raya ke ibu negara dengan blok simen dan dawai berduri. Polis juga melarang penggunaan kenderaan ladang sebagai syarat untuk memberi kebenaran untuk perhimpunan di bandar itu. Peserta juga dilarang membawa kayu atau pedang bagi mengelak pertembungan dengan polis.

    Penunjuk perasaan memegang sepanduk menuntut bekalan elektrik percuma untuk pertanian. Mereka berpendapat bahawa tanpa jaminan harga minimum untuk tanaman mereka, mereka akan berada di bawah belas kasihan pasaran dan itu akan mendatangkan bencana, terutamanya bagi lebih daripada dua pertiga daripada mereka yang memiliki kurang daripada 1 hektar (2 1/2 ekar) tanah.

    Perhimpunan anjuran Barisan Peladang Bersatu itu diadakan di Ramlila Ground, yang digunakan untuk perayaan keagamaan, mesyuarat politik utama dan acara hiburan.

    Polis juga menetapkan syarat untuk perhimpunan itu bahawa tidak lebih daripada 5,000 orang akan menyertainya, kata agensi berita Press Trust of India. Perhimpunan itu dijadualkan berakhir kelmarin.

    Chitwant Singh, seorang penunjuk perasaan, berkata petani tidak memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos mereka. “Peniaga dan orang tengah mengambil semua keuntungan kami,” katanya.

    Protes itu datang pada masa yang genting bagi India, yang mengadakan pilihan raya nasional pada April-Mei di mana parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi dijangka memperoleh penggal ketiga berturut-turut. Petani merupakan blok pengundian yang sangat berpengaruh kerana bilangan mereka. Lebih daripada 60 peeatus daripada 1.4 bilion penduduk India bergantung pada pertanian untuk mata pencarian mereka.

    Para petani juga mendesak kerajaan untuk mengotakan janjinya untuk mengetepikan pinjaman dan menarik balik kes undang-undang yang dibawa terhadap mereka semasa protes awal pada tahun 2021. Beberapa pusingan rundingan telah gagal memecah kebuntuan. – AP

    Petani India yang membantah menuntut harga tanaman terjamin berkumpul di tanah Ramlila di New Delhi, India, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda