Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan lancar logo BKISHHB

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah, berkenan berangkat ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia di BKISHHB dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, selaku Ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan melancarkan Logo Bangunan BKISHHB, yang mengandungi lambang peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta nama BKISHHB dalam tulisan rumi dan jawi Thuluth Jali bagi melambangkan Negara Brunei Darussalam yang memartabatkan penggunaan tulisan jawi.

    Terdapat sembilan logo ditempatkan di lima lokasi berasingan di sekitar Bangunan BKISHHB, di mana satu logo terbesar telah ditempatkan di bahagian hadapan bangunan berkenaan.

    Logo tersebut yang dihiasi dengan lampu neon itu dinyalakan bermula dari jam 7:30 malam sehingga 9:30 malam bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78 Tahun.

    BKISHHB merupakan sebuah institusi yang menyimpan dan mempamerkan khazanah warisan Islam yang sangat berharga serta berperanan dalam menjalankan aktiviti pengumpulan, penyelidikan, pengkajian, pengembangan dan penyebaran maklumat dan ilmu-ilmu Islam.

    Selain itu, ia juga mempunyai sembilan buah galeri yang mempamerkan bahan koleksi peribadi Baginda Sultan yang memfokuskan kepada ketamadunan Islam seperti koleksi mashaf daripada pelbagai negara, manuskrip berbahasa Arab, Farsi dan Nusantara, tongkat, tasbih, serta koleksi fosil dan bahan artifak astronomi Islam.

    Institusi berkenaan juga telah menerima para pengunjung yang terdiri daripada ketua-ketua negara, para pembesar dan pelancong luar negara serta rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berserta YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyempurnakan pelancaran Logo Bangunan BKISHHB. Turut berangkat, YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan menyaksikan pameran. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bagi menandatangani lembaran kenangan keberangkatan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan dijunjung bagi menandatangani lembaran kenangan keberangkatan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda