Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama semarakkan sambutan Maulud

    Oleh Yusrin Junaidi, Sim Y.H. & Daniel Lim – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Bagi sama-sama menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, rombongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menghadiri Majlis Dikir di Masjid Az-Zakireen, Kampung RPN Meragang yang dikendalikan oleh Pusat Sejarah Brunei, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Pembangunan Masyarakat, kelmarin.

    Hadir selaku ketua rombongan bagi majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Acara diteruskan dengan Dikir Assalamualaika diketuai oleh Guru Ugama Terlatih Masjid Az-Zakireen, Kampung RPN Meragang, Awang Mohd Zulfikri bin Murah dan Dikir Khairuman/Dikir Badat oleh Kumpulan Firqah Al-Falaah, KKBS.

    Majlis diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah, diikuti Dikir Marhaban dan Doa Dikir dibacakan oleh Imam Tingkat II Masjid Az-Zakireen, Kampung RPN Meragang, Haji Shahbirin bin Haji Mohd Noor.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Dikir di Masjid Az-Zakireen, Kampung RPN Meragang. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Haji Mohammad Rosli, Awang Misle dan antara yang hadir semasa majlis kendalian KHEU. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Haji Abdul Rajid semasa majlis berdikir bersama mualaf yang berlangsung di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh. – GAMBAR SERAHAN PDI
    Ahli Kumpulan Biro Wanita Al-Mudarisah Kampung Sungai Buloh semasa menyemarakkan Dikir Maulud. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Dr Haji Azman bergambar ramai dengan jemaah yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN IBTE

    Sementara Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Masjid Az-Zakireen, Kampung RPN Meragang, Haji Nurhidayatullah bin Haji Zulkifilee.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Haji Zakaria bin Haji Serudin, pengarah-pengarah bahagian dan jabatan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Sementara itu, Kementerian Pendidikan tidak ketinggalan mengadakan majlis serupa yang berlangsung di Masjid Kampung Pelambayan baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Turut hadir Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Pelambayan.

    Acara didahului dengan penyerahan sumbangan wakaf pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang disempurnakan oleh Dr Haji Azman kepada Ketua Imam Masjid Kampung Pelambayan, Haji Muhamad Aminuddin bin Haji Puteh, diikuti dengan solat Fardu Maghrib berjemaah.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Dr Haji Azman sebagai permulaan bagi bacaan Dikir Khairuman, diikuti bacaan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Haji Muhamad Aminuddin.

    Manakala Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan majlis Dikir Maulud di Masjid STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, Belait.

    Mengetuai rombongan itu ialah Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, yang diiringi oleh pegawai dan kakitangan dari bahagian dan jabatan di bawah KHEU.

    Turut hadir Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; dan Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohd Aliyani bin Ismail.

    Acara dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, disusuli Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Mohammad Rosli. Tazkirah ringkas bertajuk Banyakkan Berselawat ke atas Rasulullah kemudiannya disampaikan oleh Awang Khaliq bin Kamree dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

    Majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Assalamualaika, Dikir Bisyahrin, bacaan Dikir Asyaraqal sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh imam masjid, Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim.

    Sementara itu, PDI, KHEU melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf) malam tadi telah mengungkayahkan rombongan berdikir bersama mualaf bertempat di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh.

    Rombongan berdikir itu diketuai oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Bilal Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Awang Saiful bin Haji Sofian disusuli dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

    Seterusnya tazkirah bertajuk Tanda Kasihku buatmu Ya Rasulullah disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Agama, Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd Yusoff.

    Manakala 30 ahli Kumpulan Biro Wanita Al-Mudarisah Kampung Sungai Buloh yang terdiri daripada penduduk kampung dan keluarga juga menyemarakkan sambutan zikir Maulud baru-baru ini di rumah Pengiran Hajah Dismani binti Pengiran Haji Metussin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda