Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BGEC perkukuh ekonomi Brunei, China

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Setiausaha Communist Party of China (CPC) Committee of the Guangxi Zhuang Autonomous Region dan Pengerusi Standing Committee of the People’s Congress of Guangxi Zhuang Autonomous Region, Republik Rakyat China, Liu Ning telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Bersama (JCC) Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi (BGEC) ke-4 yang berlangsung di sebuah hotel di Jerudong, kelmarin.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, menyatakan turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Wang Haitao; dewan-dewan perniagaan, pegawai-pegawai kerajaan serta wakil-wakil dari Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Republik Rakyat China.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam ucapan alu-aluannya mengambil maklum bahawa Memorandum Persefahaman BGEC Dinaik Taraf yang ditandatangani pada 2023 telah membuka lebih banyak potensi untuk kerjasama.

    Beliau menyatakan BGEC telah memainkan peranan penting dalam memupuk rantaian nilai bekalan dinamik di antara Brunei, China dan negara-negara ASEAN yang lain.

    Yang Berhormat Dato mengetengahkan pertumbuhan yang ketara dalam perdagangan di antara Brunei Darussalam dan Guangxi pada tahun ini, mencerminkan kedayatahanan dan kekuatan kerjasama berkenaan serta memuji inisiatif-inisiatif Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) yang secara signifikan telah meningkatkan kesalinghubungan serantau.

    Beliau menggalakkan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti dalam sektor-sektor utama khususnya makanan, hiliran minyak dan gas, pelancongan, perkhidmatan serta ICT.

    BGEC terus menjadi instrumen penting dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi di antara Brunei dan China.

    Mesyuarat BGEC JCC ke-4 diteruskan dengan menyemak perkembangan BGEC sejak penubuhannya pada 2014, membincangkan pelan kerja masa depan dalam mempromosikan pelaburan dan perdagangan dua hala bagi kemakmuran bersama serta menekankan semula produk dan perkhidmatan utama menjelang 2025.

    Setiausaha Agung Bersama BGEC dari Negara Brunei Darussalam menekankan lagi BGEC boleh memainkan peranan penting dalam mempercepatkan agenda mempelbagaikan ekonomi Brunei.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama para hadirin pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Bersama (JCC) Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi (BGEC) ke-4, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda