Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biden akan ke Vietnam

    WASHINGTON, 9 OGOS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengatakan kelmarin, beliau akan berkunjung ke Vietnam ‘tidak lama lagi’ sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki hubungan dengan Hanoi, ketika Washington berusaha untuk menangani pengaruh China di rantau tersebut.

    “Saya akan ke Vietnam tidak lama lagi kerana Vietnam mahu mengubah hubungan kami dan menjadi rakan,” kata Biden semasa menyampaikan ucapan di New Mexico.

    “Kami mendapati negara kami dalam situasi di mana semua perubahan di seluruh dunia berlaku pada masa kita mempunyai peluang untuk mengubah dinamik,” tambahnya.

    AS dan Vietnam mempunyai hubungan perdagangan yang semakin rapat, dengan kedua-duanya berkongsi kebimbangan berhubung kekuatan China yang semakin berkembang di kawasan tersebut.

    Washington dan Hanoi berjanji pada April lalu untuk meningkatkan hubungan diplomatik apabila Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, singgah dalam perjalanan ke mesyuarat menteri luar negeri Kumpulan Tujuh (G7) di Jepun.

    Presiden Joe Biden semasa berada di Arizona pada 8 Ogos. – AFP

    “Kami berpendapat ini masa terbaik untuk meningkatkan perkongsian sedia ada kami,” kata Blinken kepada wartawan semasa kunjungan bersama pemimpin Vietnam.

    “Perkongsian komprehensif kami selama 10 tahun telah mencipta asas kerjasama yang sangat kukuh dalam pelbagai bidang. Hasilnya, kami rasakan ini adalah saat yang baik untuk melangkah lebih jauh.”

    Blinken juga menghadiri upacara pecah tanah untuk sebuah kedutaan besar AS yang baharu di Hanoi.

    Pada Mac, Biden bercakap dengan ketua parti Komunis pemerintah Vietnam, Nguyen Phu Trong.

    Bagaimanapun, Washington mengkritik kebimbangan mengenai hak asasi manusia di Vietnam, dengan Blinken berkata beliau terus ‘menekankan bagaimana perkembangan hak asasi manusia masa depan adalah penting untuk meningkatkan potensi penuh rakyat Vietnam’. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda