Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bolehkah berwakil pada perkara ibadah?

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Seseorang mewakilkan orang lain untuk menguruskan urusannya kerana sibuk atau kerana tiada kemahiran menguruskan perkara tersebut atau kerana tidak dapat keluar atau hadir untuk berurusan adalah perkara biasa yang sering terjadi terutama apabila melibatkan perkara muamalah seperti mewakilkan seseorang untuk urusan jual beli.

    Sebagai contoh, tidak sedikit orang yang menggunakan khidmat wakil dalam urusan jualan sama ada jualan dilakukan secara direct selling atau online, dan tidak sedikit juga orang yang menggunakan khidmat institusi tertentu bagi menguruskan kewangan mereka seperti mewakilkan pihak bank untuk urusan pemindahan wang atau pelaburan dan seumpamanya.

    Wakalah atau perwakilan termasuk salah satu muamalah yang diperbolehkan untuk dilakukan oleh umat Islam. Namun adakah semua perkara atau urusan boleh untuk diwakilkan, termasuk perkara yang berkaitan dengan ibadah?

    DALIL PENSYARIATAN WAKALAH ATAU PERWAKILAN

    Wakalah bermaksud penyerahan kekuasaan oleh seseorang kepada orang lain dalam hal-hal yang boleh diwakilkan perlaksanaannya, agar dilaksanakan pada waktu hidupnya (orang yang berwakil).

    Ulama sepakat mengatakan tentang pengharusan wakalah pada perkara-perkara tertentu.

    Foto Canva

    Terdapat dalil daripada kitab al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan tentang pensyari‘atan wakalah dalam perkara-perkara tertentu. Antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Dan jika kamu takut persengketaan (yang berterusan) antara keduanya (suami isteri), maka lantiklah hakam (orang tengah yang adil untuk mendamaikan mereka), seorang daripada keluarga suami dan seorang daripada keluarga isteri. Jika kedua-dua hakam itu hendak mendamaikan, nescaya Allah akan memberikan taufik kepada keduanya (sama ada berbaik-baik semula ataupun bercerai). Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.

    (Surah an-Nisa’: 35)

    Dalam sebuah hadits daripada sahabat ‘Urwah Radhiallahu ‘anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikannya satu dinar untuk dia membeli seekor kambing. Lantas dia membeli dua ekor kambing dan menjual salah seekor kambing tersebut dengan harga satu dinar. Kemudian dia memberikan satu dinar dan kambing tersebut kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda mendoakannya dengan keberkatan dalam urusan jual belinya. Hadits ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah.

    APAKAH PERKARA ATAU URUSAN YANG BOLEH DIWAKILKAN?

    Rukun wakalah ada empat, iaitu:

    1. Muwakkil (orang yang mewakilkan).
    2. Wakil.
    3. Muwakkal fih (perkara yang diwakilkan).
    4. Sighah (lafaz ijab dan qabul).

    Untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara atau urusan itu boleh diwakilkan kepada orang lain yang layak untuk dilantik sebagai wakil, maka perkara atau urusan tersebut perlu menepati syarat yang ditentukan oleh syara‘. Syarat-syarat tersebut adalah seperti yang berikut:

    a. Hendaklah perkara atau barang tersebut milik atau kepunyaan orang yang mewakilkan ketika perwakilan.

    Oleh itu, tidak sah perwakilan jika seseorang mewakilkan perkara yang belum dimilikinya. Sebagai contoh, mewakilkan kepada kawan untuk menjual barang yang akan dimilikinya atau mewakilkan kepada seseorang untuk menjatuhkan talak bagi perempuan yang belum dinikahinya.

    b. Hendaklah pengurusan perkara tersebut boleh diganti oleh orang lain (wakil) untuk melakukannya. Ini kerana maksud perwakilan adalah penggantian. Oleh itu, tidak sah mewakilkan perkara seperti sembahyang, sumpah, kesaksian dan yang seumpamanya.

    c. Hendaklah sesuatu yang diwakilkan itu jelas diketahui oleh wakil pada beberapa sudut bagi mengurangkan berlakunya gharar (tidak jelas).

    Oleh itu, tidak sah perwakilan ke atas sesuatu perkara yang samar. Sebagai contoh, orang yang mewakilkan berkata kepada wakil: “Aku mewakilkan kamu pada setiap urusanku” atau “Tuan saya lantik menjadi wakil saya, maka uruskan sebagaimana yang tuan kehendaki”.

    Namun tidak pula disyaratkan ke atas wakil untuk dia mengetahui semua sudut perkara yang diwakilkan, hanya memadai pada sebahagian sahaja.

    BOLEHKAH PERKARA IBADAH DIWAKILKAN?

    Menyentuh hukum wakalah atau perwakilan berkaitan perkara ibadah, para ulama membahagikannya kepada tiga:

    1. Tidak boleh berwakil atau mewakilkan perlaksanaan ibadah badaniyyah (ibadah yang mesti dilaksanakan dengan tubuh badan semata-mata) kepada orang lain, seperti mewakilkan ibadah sembahyang, puasa, bersuci daripada hadats seperti wudhu’ atau mandi kerana hadats besar kepada orang lain. Ini kerana tujuan disyari‘atkan ibadah badaniyyah ini adalah sebagai ujian atau dugaan kepada yang empunya badan yang mesti dilaksanakan dengan usaha dirinya dan ia tidak akan berlaku jika dilaksanakan oleh orang lain.

    2. Dibolehkan berwakil dalam melaksanakan ibadah maliyyah (ibadah yang berkaitan harta) seperti berwakil dalam mengeluarkan atau pembahagian zakat mahupun sedekah, berwakil melaksanakan kaffarah (denda yang wajib dibayar kerana melanggar suatu ketentuan syara’ yang mengakibatkan dosa seperti memberi makan orang miskin atau memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin), berwakil melaksanakan ibadah korban atau aqiqah dan yang seumpamanya.

    3. Ibadah badaniyyah dan maliyyah, seperti ibadah haji dan umrah. Ibadah yang termasuk dalam kategori ini tidak boleh diwakilkan jika seseorang itu berkuasa atau mempunyai keupayaan untuk melakukannya sendiri. Namun jika dia tidak berupaya untuk melaksanakan ibadah tersebut, maka perlaksanaannya boleh diwakilkan kepada orang lain.

    Selain daripada ibadah badaniyyah yang tersebut di atas, terdapat lagi beberapa perkara yang tidak boleh diwakilkan, antaranya ialah mengenai perkara kesaksian. Tidak boleh mewakilkan urusan kesaksian kepada orang lain kerana kesaksian berkaitan dengan perkhabaran yang diperolehi sama ada melalui penglihatan saksi itu sendiri atau yang didengar sendiri oleh saksi. Begitu juga halnya dengan perkara nazar dan sumpah termasuk ‘ila (lafaz sumpah suami yang ditujukan kepada isterinya bahawa dia tidak akan menyetubuhinya selama waktu tertentu) dan li‘an (kalimat tertentu yang dijadikan hujah untuk menuduh isteri melakukan zina dan mengaibkan isteri atau menafikan nasab anak kepadanya). Ini kerana penerimaan lafaz sumpah adalah berkaitan dengan lafaz orang yang bersumpah yang mana hanya dirinya sahaja mengetahui kebenaran lafaz tersebut.

    Sebagai kesimpulan, Islam mengharuskan wakalah bagi memudahkan seorang yang mempunyai kesukaran melakukan perkara atau urusan yang hendak diselesaikan atau disegerakan dengan menyerahkan kepada wakil untuk menguruskannya. Namun terdapat syarat yang perlu diperhatikan sebelum urusan diserahkan kepada wakil seperti syarat yang berkaitan dengan perkara yang hendak diwakilkan.

    Syarat bagi perkara yang diwakilkan itu pula antaranya ialah perkara tersebut boleh diserahkan kepada orang lain (wakil) untuk menguruskannya atau melaksanakannya seperti perkara jual beli, gadaian, simpanan dan yang seumpamanya. Keharusan wakalah pula tidak berlaku pada perkara yang menyangkut ibadah badaniyyah kecuali dalam ibadah yang tertentu sahaja sepertimana yang dijelaskan di atas. Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati tentang perkara yang dibenarkan untuk diwakilkan dan meneliti sebelum melaksanakan perwakilan ini, sama ada kita terdiri dari pihak yang akan mewakilkan kepada orang lain atau kita adalah pihak yang mewakili orang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda