Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei hantar bantuan kemanusiaan guna payung terjun ke Gaza

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dana daripada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 (TKP 2023) berjumlah AS$1,050,000.00 (yang dianggarkan sebanyak $1,399,545.00) telah digunakan untuk menghantar bantuan kemanusiaan dalam bentuk barangan ke Palestin secara ‘air-drop’ (payung terjun).

    Bantuan tersebut berupa paket makanan yang siap sedia untuk di makan yang tahan lama yang mana jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 5,920 paket.

    Setiap paket makanan mengandungi hidangan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam untuk seorang.

    Negara Brunei Darussalam telah selamat membuat penghantaran pertama kelmarin yang merangkumi dua kali ‘air drop’ dan ianya telah dilaksanakan dengan menggunakan pesawat tentera udara Jordan.

    Air-drop berkenaan telah disasarkan pada persisiran pantai di utara Gaza yang menempatkan ribuan rakyat Palestin yang terperangkap di kawasan tersebut.

    Acara penyerahan sumbangan tersebut telah diadakan di Lapangan Terbang Tentera King Abdullah lI dan dihadiri oleh pihak Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Amman, Jordan dan pinak Kerajaan Hashimiyah Jordan.

    Sementara itu, pelaksanaan dua ‘air drop’ selanjutnya dijadualkan secara berasingan pada sebelah petang hari ini dan esok di tempat yang sama.

    Semua kotak yang mengandungi bantuan kemanusiaan telah dilabelkan dengan label bendera Negara Brunei Darussalam dan Jordan. 
    Bantuan daripada Negara Brunei Darussalam dihantar secara air-drop di persisiran pantai di utara Gaza. Gambar-gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda