Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei komited tangani penyebaran ajaran ekstremisme

    JAKARTA, INDONESIA, 31 JULAI – Negara Brunei Darussalam menegaskan mengenai kepentingan inisiatif-inisiatif kerjasama serantau dalam usaha pemulihan atau rehabilitasi bagi individu-individu yang terpengaruh oleh ajaran ekstremisme khususnya golongan belia.

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga terus berusaha untuk menangani ancaman pengganasan dan penyebaran ajaran-ajaran ekstremisme yang masih menjadi isu keselamatan yang utama di rantau ini.

    Perkara tersebut ditegaskan oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara pada Mesyuarat Sub-Serantau mengenai Memerangi Keganasan dan Keselamatan Transnasional (SRM) kali ke-5 yang berlangsung di Bali, Republik Indonesia, hari ini.

    Mesyuarat SRM kali ke-5 telah dipengerusikan bersama oleh Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Seri Marsekal (B) Hadi Tjahjanto dan Menteri Dalam Negeri merangkap Menteri Keselamatan Siber, Menteri Kesenian dan Menteri Imigresen dan Ehwal Multibudaya Australia, Tuan Yang Terutama Tony Burke dengan disertai oleh menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan dari New Zealand, Malaysia, Republik Filipina, Republik Singapura dan Thailand.

    Semasa mesyuarat itu juga, menteri-menteri dan ketua perwakilan telah menegaskan komitmen untuk menangani ancaman-ancaman baharu daripada kumpulan pengganas seperti Islamic State Khorasan Province (ISKP) yang dinilai mulai aktif di rantau ini.

    Dato Seri Paduka Haji Sufian bergambar ramai semasa mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN JPM
    Delegasi Negara Brunei Darussalam yang menghadiri SRM kali ke-5 yang berlangsung di Bali, Republik Indonesia, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JPM

    Dalam hubungan ini, mesyuarat telah menzahirkan kebimbangan terhadap trend penyebaran ajaran ekstremis oleh kumpulan-kumpulan pengganas yang menggunakan platform digital seperti media sosial untuk menyasarkan golongan belia.

    Ke arah itu, mesyuarat bersetuju bahawa negara-negara di rantau ini perlu terus berganding bahu dalam usaha untuk membanteras ancaman pengganasan melalui inisiatif-inisiatif seperti pertukaran maklumat dan amalan-amalan.

    Sehubungan dengan itu, mesyuarat menyambut baik Resolution on Treatment of Children Associated with Terrorist Groups yang telah disahkan di pada bulan Mei 2024.

    Dalam hal yang berkaitan, mesyuarat juga mengetengahkan mengenai kepentingan inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan lagi tahap kedayatahanan rantau ini dalam menangani ancaman siber khususnya dari aspek perlindungan Critical Information Infrastructure.

    Akhirnya, mesyuarat telah bersetuju bahawa kerjasama berterusan adalah diperlukan untuk mengukuhkan lagi tahap kefahaman dan ketersediaan bagi meng-hadapi ancaman-ancaman keselamatan di rantau ini secara bersama.

    Menurut kenyataan JPM, delegasi Brunei turut disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd Kadir; Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad dan pegawai-pegawai kanan JPM.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda