Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSI Julai 2024 kekal stabil

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) iaitu Sub-Indeks Keadaan Perniagaan adalah 50.0 bagi Julai 2024 di mana perniagaan secara amnya menjangka keadaan perniagaan yang lebih kurang sama pada Julai 2024 berbanding dengan Jun 2024, dengan prestasi yang berbeza mengikut jenis sektor.

    Acara dan promosi yang berkaitan dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah meningkatkan permintaan bagi barangan serta perkhidmatan.

    Beberapa perniagaan berpandangan optimistik manakala sebahagian perniagaan mengongsikan kebimbangan terhadap prestasi yang lembap dengan jangkaan peningkatan dalam aktiviti melancong ke luar negeri semasa hari-hari kelepasan awam pada hujung minggu.

    Indeks bagi satu bulan ke hadapan berada pada tahap 50.3 menunjukkan para peniaga menjangkakan peningkatan dalam produktiviti dan prestasi pada Ogos ini disebabkan faktor-faktor seperti keadaan cuaca yang bertambah baik dan projek-projek baharu.

    Dapatan itu adalah dari BSI bagi Negara Brunei Darussalam bagi Julai 2024 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), baru-baru ini.

    BSI adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.0 bagi Julai lalu, 50.2 untuk sebulan ke hadapan dan 50.1 bagi tiga bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan secara amnya, para peniaga merancang untuk mengekalkan tahap pelaburan pada Julai lalu, terutamanya disebabkan mesin dan peralatan yang mencukupi untuk projek-projek dan operasi yang sedang berlangsung.

    Bagi beberapa bulan yang akan datang, para peniaga merancang untuk meningkatkan pelaburan bagi pembinaan kemudahan baharu, pemindahan dan pengubahsuaian premis perniagaan, pembukaan cawangan baharu serta pembelian mesin dan peralatan baharu.

    Sementara itu, Sub-Indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.2 bagi Julai lalu dan 50.3 bagi sebulan ke hadapan di mana ia meneruskan trend seperti sebelumnya, para peniaga mengongsi usaha berterusan dalam pengambilan pekerja untuk memenuhi keperluan operasi mereka serta menggantikan pekerja yang telah menamatkan perkhidmatan.

    Gambar menunjukkan Indeks bagi Julai 2024. – GAMBAR SERAHAN BDCB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda