Friday, May 17, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Cara mudah hiasi rumah si bulus

    Oleh Amri HTZ –

    Memelihara kucing sama ada di dalam mahupun perkarangan rumah sudah menjadi lumrah bukan sahaja bagi masyarakat kita, malahan antarabangsa.

    Haiwan yang cukup mudah untuk dipelihara juga sering kali dijadikan teman bicara untuk mengurangi rasa kesepian dan sebagainya. Namun membiarkannya berkeliaran sepanjang masa, ditakuti mengundang amarah jiran-jiran terdekat yang tidak mahu halaman rumah mereka dicemari dengan najis bintang.

    Untuk itu, menempatkannya ke dalam sangkar merupakan satu pilihan dan bagi memastikan ‘rumah’ untuk si bulus tampak menarik, projek ini akan membawa awda langkah-langkah untuk menghiasinya.

    Persediaan awal

    Mesin pemotong kayu meja
    Papan lapis
    Papan
    Cat kayu
    Wood stain
    Gam kayu
    Skru
    Pita pengukur
    Pocket hole jig

    POTONG PAPAN TERSEDIA
     
    Sebelum memulakan langkah pemotongan kayu, pertama sekali ukur besar sangkar yang bakal digunakan dengan merekodkannya pada sekeping kertas. Setelah mendapatkan ukuran keseluruhan sangkar, setiap bahagian akan ditambah 2 inci untuk memberikan ruang untuk kaki rekaan ditempatkan. (Gambar 2)
     
    Pada projek ini, sangkar berukuran 24 x 16 x 20 inci akan digunakan. Oleh itu ukuran potongan kayu perlu disesuaikan dengan sangkar yang digunakan oleh awda. Langkah pemotongan terbahagi kepada empat bahagian iaitu tiang, bawah, atas dan penutup. 
     
    Kayu berukuran 1 x 2 inci tersedia kemudiannya akan dipotong dengan panjang 24 inci empat batang, 16 inci empat batang, 20 inci lapan batang dan papan lapis untuk penutup berukuran 26 x 28 inci. (Gambar 3)
    Gambar 1. – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 2 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 3 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 4 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 5 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 6 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 7 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 8 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 9 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    Gambar 10 – GAMBAR OLEH DESIGNCOYXE
    CANTUM POTONGAN KAYU
     
    Langkah mencantumkan struktur atas dan bawah rekaan akan menggunakan skru dan gam kayu. Sebelum membolehkan skru dimasukkan, tebuk dua lubang pada kedudukan skru menggunakan mata gerudi 2mm. Langkah ini bagi memastikan skru dimasukkan tidak akan membelah kayu. Setiap satu bahagian (atas dan bawah) yang dicantumkan menjadi satu terdiri daripada dua batang kayu 24 inci dan 16 inci membentuk segi empat sama. (Gambar 4)
     
    Seterusnya ialah mencantumkan kayu bahagian kaki rekaan. Dua batang kayu 20 inci akan dicantumkan menjadi satu membentuk L dengan langkah ini boleh dilakukan menggunakan skru atau stapler. Namun setiap permukaan cantuman perlulah disapukan dengan gam kayu bagi memastikan ia benar-benar kukuh. (Gambar 5)
     
    KETAT SKRU BAHAGIAN KAKI REKAAN
     
    Langkah seterusnya adalah mencantumkan kaki rekaan pada bahagian dalamnya. Pastikan skru yang digunakan tidak terlalu panjang sehingga menembusi permukaan luar struktur bawah atau atas rekaan. (Gambar 6)
     
    Dalam memastikan setiap sudut hujung papan lapis untuk bahagian penutup tidak mudah rosak atau menghasilkan permukaan kasar, ia akan dilindungi dengan papan dengan tebal dan panjang yang sama untuk setiap sudut. Gunakan stapler untuk mengekalkan kedudukan kayu perapi dengan sokongan gam kayu. (Gambar 7)
     
    Setelah kesemua bahagian telah siap direka, gosok keseluruhan permukaan rekaan menggunakan kertas pasir bagi menghalusinya. Langkah ini juga bagi memastikan tidak lagi terdapat permukaan tajam pada keseluruhan permukaan rekaan bagi mengelakkan kecederaan. (Gambar 8)
     
    Bagi mengekalkan bahagian penutup, bahagian dalam struktur atas rekaan akan ditebuk menggunakan pocket hole jig. Seperti langkah sebelumnya, pastikan skru digunakan tidak terlalu panjang sehingga boleh menembusi permukaan atas papan lapis. (Gambar 9)
     
    LINDUNGI PERMUKAAN REKAAN
     
    Langkah terakhir ialah melindungi permukaan rekaan dengan cat atau wood stain. Pilih warna yang bersesuaian dengan minat sendiri namun masih mengekalkan gaya seperti seorang profesional. 
     
    Jika awda menggunakan cat sembur pada langkah ini, pastikan awda menyemburkan sekurang-kurangnya dua lapisan cat dengan yang pertama dalam keadaan nipis diikuti tebal untuk lapisan kedua. 
     
    Dengan ini, rekaan untuk sangkar si bulus bukan sahaja berfungsi sebagai penghias, malahan boleh dijadikan meja perhiasan.
     
    Tip rekaan
     
    Gunakan gam kayu yang tahan lasak bagi memastikan cantuman kukuh selain membolehkan barangan untuk diletakkan di atasnya.
     
    Gosok permukaan rekaan sehingga halus menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit bagi mendapatkan hasil akhir terbaik ketika ia dicat nanti.
     
    Penggunaan skru pada rekaan perlulah khusus untuk kayu.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    12 terbunuh dipancar kilat di India

    NEW DELHI, 17 MEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mangsa cedera, kelmarin akibat dipanah petir di Bengal Barat, di timur India,...