Friday, May 17, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Cari rezeki di tepi jalan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Seluruh umat Islam yang menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan ini, akan berbuka puasa setelah azan Maghrib berkumandang mengikut zon waktu masing-masing.

    Rata-rata pada bulan ini juga, kebanyakan orang akan mencari juadah istimewa yang kadang-kadang hanya terdapat pada bulan Ramadan, yang mana ia juga merupakan lombong emas buat peniaga-peniaga makanan.

    Seperti kebiasaannya, pengusaha makanan secara kecil-kecilan ini akan mula berjaja di tepi jalan.

    Antara juadah yang sering kita lihat dijual di tepi jalan ialah kuih-muih, ayam golek, serta lemang tradisi Brunei kitani.

    Lemang memang sinonim sekali sebagai juadah yang popular apabila tiba bulan Ramadan dan semasa Hari Raya Aidilfitri.

    Penjual lemang, Awang Sidik bin Barali yang berasal dari Temburong. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Hasil tinjauan Media Permata baru-baru ini, penjual lemang hanya akan beroperasi sekitar empat jam yang bermula pada pukul 3 petang hingga waktu berbuka setiap hari, gerai menjual lemang akan mula dihurung oleh penggemar lemang.

    “Memang beginilah keadaannya pada minggu pertama pada bulan Ramadan. Kami begitu sibuk kerana pelanggan datang secara mendadak,” ujar salah seorang penjual lemang.

    Di negara ini, gerai lemang kebanyakannya didirikan oleh anak tempatan di tepi-tepi jalan, dan kualiti lemang yang dijual memang terbaik dan rata-rata lemang mereka dimasak menggunakan teknik tersendiri. Ia dijual bermula pada harga $4 hinggalah $8 bergantung kepada saiz lemang.

    Antara bahan bagi hidangan lemang tradisional ini ialah santan kelapa, beras pulut dan juga sedikit garam. Kombinasi tiga bahan utama ini perlu dicampurkan dalam sukatan yang betul supaya dapat menghasilkan lemang yang sedap dan berkualiti. Kebanyakan jualan lemang pada masa ini menggunakan teknik lemang rebus, di mana lemang yang dibakar telah direbus terlebih dahulu dan ini mengurangkan keunikan rasa lemang asli.

    Akan tetapi sesetengah penjual masih menggunakan teknik memasak tradisional, di mana beras pulut dimasukkan ke dalam buluh dengan beberapa ramuan rahsia dan baru dibakar dalam beberapa jam sebelum dijual.

    Media Permata sempat menemu bual salah seorang penjual lemang di tepi jalan dan mendapati kualiti lemang dan daging rendang mereka sememangnya enak dan terbaik.

    Penjual itu juga menambah bahawa teknik jualan lemang di tepi jalan sama seperti kaedah pembelian secara pandu lalu, di mana pelanggan hanya menunjuk lemang dan daging rendang dari dalam kereta mereka. Lalu makanan yang dipilih tersebut akan dihantar ke kereta pelanggan.

    “Jualan lemang memang ada pasang surutnya, kadang mendapat sambutan yang baik, dan kadang tidak, kami bersyukur apa yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT dengan rezeki yang diberikan untuk menampung perbelanjaan seharian dan Insya-Allah menampung perbelanjaan menjelang Hari Raya Aidilfitri,” jelas penjual.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Adik perempuan Kim nafi Korea Utara telah membekalkan senjata kepada Rusia

    PYONGYANG, 17 MEI - Adik perempuan berpengaruh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sekali lagi menafikan hari ini bahawa negaranya telah mengeksport sebarang senjata...