Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Colombia mesti berada pada tahap terbaik – Lorenzo

    NEW JERSEY, 14 JULAI – Colombia perlu melakukan yang terbaik untuk berpeluang tumpaskan Argentina dalam perlawanan akhir Copa America, kata pengurus Los Cafeteros itu, Nestor Lorenzo kelmarin.

    Argentina, penyandang juara Copa America dan Piala Dunia, menduduki tempat teratas dalam ranking dunia terkini FIFA dan menurut Lorenzo, ia adalah sememangnya pasukan yang menjadi pilihan untuk menang di Stadium MetLife di New Jersey esok.

    Sementara itu, Colombia yang memburu kejuaraan Copa America kedua mereka dan pertama sejak 2001 pula berada di kedudukan ke-12 dalam ranking, walaupun menghadapi 28 perlawanan tanpa kalah sejak awal 2022.

    “Kami perlu menjadi versi terbaik Colombia untuk mengalahkan juara segala-galanya,” kata Lorenzo. “Jika kami tidak beraksi dengan baik, kami tidak akan berada di sini. Tetapi untuk menewaskan Argentina anda perlu mempunyai versi terbaik setiap pemain dan menggandakannya.”

    Colombia mara ke final dengan menewaskan Uruguay 1-0 dalam perlawanan terakhir mereka, walaupun bermain selama lebih 45 minit dengan hanya 10 pemain. Sementara Argentina mara dengan menewaskan Kanada 2-0 dalam perlawanan separuh akhir.

    Walaupun mengakui Argentina adalah saingan yang hebat, Lorenzo dalam diam-diam merasa yakin bahawa pasukannya mampu menewaskannya.

    “Sebabnya adalah kerana kami tidak berpuas hati,” katanya. “Pasukan ini ‘lapar’. Saya berkata bahawa kami perlu bermain pada tahap terbaik untuk menewaskan Argentina, kami yakin kami boleh melakukannya.” – Xinhua

    Nestor Lorenzo bercakap dengan media semasa sidang media menjelang perlawanan terakhir mereka menentang Argentina kelmarin di Miami Gardens, Florida. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda