Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daging masak rendang ala kenduri

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Masakan jenis rendang merupakan hida-ngan tradisional Melayu yang sangat terkenal dan bermusim kerana ia sering disajikan semasa musim kenduri kahwin dan pada hari istimewa.

    Bahan utama masakan rendang ini biasanya terdiri daripada daging lembu atau ayam dan kambing yang dimasak perlahan-lahan dalam santan bersama rempah-ratus seperti serai, lengkuas, kunyit, bawang, cili, kerisik dan daun limau purut.

    Proses memasak rendang mengambil masa yang lama kerana daging perlu dimasak sehingga kuahnya pekat dan kering, dan daging menjadi lembut serta menyerap semua rasa rempah.

    Rendang biasanya dimasak sehingga berwarna coklat gelap atau hitam, yang menandakan ia telah dimasak dengan sempurna.

    Rendang yang dihidangkan semasa perayaan atau majlis-majlis istimewa enak dimakan bersama nasi, ketupat, lemang, atau nasi lemak. Rasanya yang kaya, pedas dan berlemak menjadikannya hidangan yang digemari ramai.

    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva

    Di sesetengah tempat, rendang juga disajikan sebagai lauk dalam nasi campur atau nasi padang.

    BAHAN-BAHAN

    Bercerita secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat daging rendang adalah seperti, satu kilo daging lembu yang dipotong sederhana, tiga cawan santan pekat dari dua biji kelapa, dua batang serai yang dititik, tiga helai daun limau purut, dua helai daun kunyit yang dicarik, satu keping asam gelugur, satu sudu besar gula Melaka yang diparut dan garam secukup rasa.

    Manakala bahan-bahan kisar pula adalah seperti 10 biji bawang merah, empat ulas bawang putih, 3cm halia, 3cm lengkuas, 3cm kunyit hidup. Lima batang serai (bahagian putihnya sahaja) dan 10 biji cili kering yang direndam dalam air panas dan dibuang bijinya.

    CARA PENYEDIAAN

    Cara penyediaannya pula, mula-mula panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar sehingga naik bau dan naik minyak.

    Selepas itu masukkan daging dan kacau rata sehingga daging berubah warna. Setelah itu masukkan santan pekat, serai, daun limau purut dan asam gelugur lalu dikacau hingga rata.

    Kemudian biarkan rendang dimasak dengan api yang perlahan, kacau sekali-skala supaya tidak hangus di bawah. Masak sehingga kuah menjadi pekat dan daging empuk. Ini mungkin mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam.

    Apabila kuah sudah pekat, daging hampir masak, masukkan daun kunyit dan gula Melaka.

    Kacau rata dan masak lagi hingga rendang benar-benar kering dan berwarna gelap. Akhir sekali, perasakan dengan garam secukupnya. Jika suka, tambahkan lagi gula melaka atau kerisik, ikut cita rasa awda.

    Bahan-bahan:

    • 1kg daging lembu (dipotong sederhana)
    • 3 cawan santan pekat (dari 2 biji kelapa)
    • 2 batang serai (dititik)
    • 3 helai daun limau purut
    • 2 helai daun kunyit (dicarik-carik)
    • 1 keping asam gelugur
    • 1 sudu besar gula melaka (parut)
    • Garam secukup rasa

    Bahan-Bahan Kisar:

    • 10 biji bawang merah
    • 4 ulas bawang putih
    • 3 cm halia
    • 3 cm lengkuas
    • 3 cm kunyit hidup
    • 5 batang serai (bahagian putih sahaja)
    • 10 biji cili kering (direndam dalam air panas dan buang biji)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda