Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Didik pelajar kurangkan pengambilan garam

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Sekumpulan pelajar jurusan Farmasi Tahun 3 dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), dikenali sebagai Pasukan SeeSalt, telah berjaya menganjurkan acara kesedaran kesihatan bertajuk Mengurangkan Pengambilan Garam untuk Kesihatan yang Lebih Baik di Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) baru-baru ini.

    Objektif utama acara berkenaan adalah untuk mendidik pelajar Tahun 9 SMSIS mengenai risiko kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan garam berlebihan serta memperkenalkan alternatif yang lebih sihat dan rendah natrium untuk menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih baik.

    Turut hadir bersama pasukan berkenaan ialah para penyelia atau pensyarah UBD dan juga tiga orang pendidik kesihatan dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

    Acara dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pasukan SeeSalt, diikuti dengan pembentangan informatif mengenai risiko pengambilan garam berlebihan. Pembentangan tersebut menekankan pengambilan garam harian yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menggalakkan pelajar untuk berinteraksi melalui sesi soal jawab.

    Terdahulu, kaji selidik telah diedarkan kepada para pelajar dengan tujuan bagi menilai tahap pengetahuan mereka mengenai pengambilan garam, sebelum acara bermula.

    Ahli Pasukan SeeSalt memberikan penerangan semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEASALTBN
    Antara pelajar yang hadir semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEASALTBN
    Antara aktiviti yang telah disediakan semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEASALTBN
    Pasukan SeeSalt dan pelajar SMSIS bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEASALTBN

    Dalam pada itu, bagi meningkatkan lagi perbincangan dan memperkasakan golongan pelajar, sesi perkongsian kumpulan turut diadakan pada acara tersebut.

    Semasa acara berkenaan, pelajar-pelajar juga berpeluang menyertai empat stesen permainan interaktif, yang setiap satunya memberi tumpuan kepada aspek pengambilan garam yang berbeza.

    Dalam Stesen 1, bertujuan untuk mendidik pelajar tentang kesan buruk kesihatan akibat pengambilan garam berlebihan, seperti hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

    Pelajar turut meluangkan masa mereka dengan mengambil bahagian dalam permainan di mana mereka mengklasifikasikan penyakit berdasarkan risiko yang berkaitan dengan garam. Bagi Stesen 2 pula telah menguji pengetahuan pelajar tentang mitos garam melalui permainan Riyal atau Fakeh, di mana mereka menyusun guli berdasarkan mitos yang benar atau palsu.

    Manakala pada Stesen 3, memberikan fokus kepada garam tersembunyi dalam makanan harian, mencabar pelajar untuk mengklasifikasikan makanan ke dalam kategori garam tersembunyi atau tiada garam tersembunyi dan Stesen 4 telah menggabungkan aktiviti fizikal dengan pembelajaran dalam cabaran tali skip di mana pelajar menjawab soalan berkaitan garam sambil berskip.

    Sebagai insentif tambahan, pelajar yang menyertai semua permainan diberi peluang untuk mengikuti permainan Spin the Wheel.

    Inisiatif pendidikan sedemikian itu merupakan sebahagian daripada usaha Pasukan SeeSalt untuk menyokong Matlamat Kesihatan Kebangsaan Brunei 2030, yang bertujuan mengurangkan pengambilan garam yang tinggi dan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda