Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM FC tewas kepada Tampines

    Oleh Fadhil Yunus –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Rentetan kekalahan DPMM FC dalam Liga Perdana Singapura musim 2024/2025 berterusan kepada lima perlawanan selepas tewas 3-0 kepada Tampines Rovers FC di Stadium Jalan Besar di Singapura baru-baru ini.

    Pasukan tuan rumah mencipta peluang pertama dalam perlawanan itu apabila penjaga gol DPMM FC, Kristijan Naumovski, menepis rembatan penyerang Jepun, Seia Kunori.

    Penyerang Tampines Rovers, Boris Kopitovic membuka jaringan pada minit ke-29 dengan rembatan rendah yang cukup baik selepas menerima hantaran daripada Kunori. Jaringan tersebut merupakan gol ke-100 pemain itu dalam semua kejohanan di Singapura.

    Dia ketinggalan enam gol di belakang legenda bola sepak Singapura, Aleksandar Duric untuk menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa kelab itu.

    Pasukan tuan rumah memberikan ancaman seketika akan tetapi Naumovski telah melakukan penyelamatan yang baik untuk menafikan sepakan percuma pemain pertahanan, Shuya Yamashita.

    Aksi Pemain DPMM FC dan Tampines bersaing untuk mendapatkan bola dalam perlawanan itu. – GAMBAR SERAHAN LIGA PERDANA SINGAPURA
    GAMBAR SERAHAN LIGA PERDANA SINGAPURA

    Tampines terus melakukan serangan terhadap pasukan lawan dengan percubaan hantaran silang rendah daripada Glenn Kweh yang melencong kepada Nurikhwan Othman untuk gol sendiri.

    The Stags berusaha untuk mengucar-kacirkan DPMM FC dengan rembatan Kopitovic namun terkena palang selepas hantaran yang dilakukan oleh Faris Ramli.

    Bintang Tampines, Yasir Hanapi dengan bijak memecahkan kubu pertahanan pasukan lawan dengan hantaran mengelirukan untuk melepaskan Kunori yang sedang mara mendahului Kopitovic.

    Penyudah klinikal itu tidak mungkin tersasar apabila Kopitovic menjaringkan gol kelapannya musim ini dua minit sebelum tamat dan semakin hampir dengan rekod jaringan gol kelab tersebut.

    DPMM FC, yang mengalu-alukan Jamie McAllister sebagai ketua jurulatih baharu akan berusaha untuk memperbaiki pasukan mereka menentang Hougang United FC dalam perlawanan liga seterusnya di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Jumaat ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda