Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pakar galas tugas bersihkan patung Buddha tertinggi dunia

    USHIKU, 10 SEPT – Dua pembersih pakar kelmarin muncul dari kepala patung Buddha gangsa tertinggi di dunia dan turun ke telinga kanannya, memberikan patung Jepun yang mengagumkan itu pembersihan tahunan bagi memastikan ia kelihatan berkilau.

    Menggunakan senapang air bertekanan tinggi, pasangan itu membersihkan habuk dan najis burung dari monumen Ushiku Daibutsu, yang menjulang tinggi di atas bandar Ushiku, timur laut Tokyo.

    Struktur setinggi 120 meter itu dibersihkan sekali setahun oleh dua lelaki tersebut, yang telah diamanahkan dengan tugas ini selama hampir 25 tahun.

    “Ia satu tugas yang amat luar biasa,” kata salah seorang pembersih veteran, Kazuyoshi Taguchi, 54 tahun, kepada AFP.

    Ketika dia dan Kazumi Minowa, 51, mula menggalas tugas tahunan ini, ‘kami tidak tahu bagaimana untuk membersihkan patung itu dan menghadapi banyak kesukaran, seperti badan kami bergolek dan ditiup angin’, kata Taguchi. Kelmarin, mereka membawa tali dan baldi air menaiki tangga ke puncak patung Buddha, yang tiga kali lebih tinggi daripada Patung Liberty tanpa tapaknya.

    Mereka kemudian turun melalui 480 gelung rambut keriting, setiap satunya mempunyai satu meter lebar, sebelum membersihkan kotoran putih dan kelabu dari telinga patung itu yang terkumpul selama setahun. – AFP

    Taguchi dan Minowa membersihkan telinga kanan patung Buddha gergasi, Ushiku Daibutsu di Ushiku, wilayah Ibaraki pada 9 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda