Friday, September 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dudun DBP di Kg Pandan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Dudun DBP di Perpustakaan DBP Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini.

    Diadakan sempena Sambutan Bulan Bahasa 2022, ia merupakan salah satu inisiatif bagi menanamkan sikap positif masyarakat untuk memelihara, memperkasa dan mendaulatkan bahasa Melayu.

    Program di perpustakaan berkenaan merupakan destinasi terakhir bagi daerah-daerah di negara ini dalam sama-sama menjayakan dan seterusnya memeriahkan Bulan Bahasa yang disambut setiap tahun.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman dan turut hadir ialah Pemangku Pengarah DBP Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Antara kegiatan yang diadakan ialah sesi senamrobik selain pelbagai aktiviti dalam perpustakaan antaranya permainan sambil berhibur berbentuk pendidikan, kuiz, pameran dan jualan buku terbitan DBP.

    Jualan makanan dan minuman juga diadakan di luar dan dalam perpustakaan yang dikendalikan oleh pengusaha-pengusaha kecil tempatan dan majlis perundingan kampung di Daerah Belait.

    Antara objektif Dudun DBP adalah untuk memperkasakan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan jati diri bangsa di samping menggema dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa ke seluruh negara.

    Seterusnya, ia meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan bahasa Melayu dalam kalangan penduduk kampung dan masyarakat awam, menyebarluaskan dan memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan benar kepada khalayak dalam skala yang besar ke arah meningkatkan kemahiran serta mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu.

    Antara aktiviti yang diadakan sebagai sebahagian daripada Dudun DBP.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda