Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat pemain raih tempat teratas kejohanan pingpong

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 25 OGOS – Empat pemain meraih tempat teratas dalam pusingan akhir Kejohanan Pingpong Brunei 2024 yang berlangsung di Kompleks Sukan Mumong, hari ini. Kejohanan yang diadakan sejak 4 Ogos lalu itu menyaksikan lebih 100 pemain pingpong dari seluruh negara berkumpul untuk bersaing dalam empat kategori berasingan yang merangkumi Perseorangan Lelaki dan Perempuan (Bawah 18) serta Perseorangan Lelaki dan Wanita (Terbuka).

    Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad hadir selaku tetamu kehormat dan kedatangan beliau telah disambut oleh Presiden Persatuan Pingpong Daerah Belait, Raymond Lee.

    Turut hadir ialah wakil-wakil dari Jabatan Belia dan Sukan Daerah Belait dan Persatuan Pingpong Brunei Darussalam.

    Dalam ucapan, Raymond Leemenjelaskan bahawa kejohanan berkenaan dianjurkan oleh persatuan itu bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78.

    “Ditubuhkan pada 1964, tahun ini menandakan ulang tahun persatuan ke-60. Usaha dan sumbangan yang telah dibuat oleh presiden dan jawatankuasa terdahulu dalam membantu memajukan lagi sukan pingpong untuk golongan muda dan tua masih dapat dihargai hari ini, dan saya berbesar hati untuk terus meneruskan legasi persatuan.”

    Haji Amirol Hafidzin menyampaikan piala dan pingat kepada pemenang Perseorangan Lelaki (Terbuka), Wee Tzu Min. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Dayangku Nur Delisha Damia semasa menentang Rachel Tham Hui Shan dalam Perseorangan Perempuan (Bawah 18). – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Beliau berharap kejohanan itu juga akan membantu menggalakkan generasi muda menceburi sukan itu, di samping memupuk hubungan silaturahim dan semangat kesukanan.

    Selepas ucapan, acara diteruskan dengan pusingan akhir perlawanan bagi empat kate-gori masing-masing.

    Antara pemenang yang meraih kejayaan dalam perlawanan akhir yang diadakan termasuk Dayangku Nur Delisha Damia binti Pengiran Mohd Sufian yang menentang Rachel Tham Hui Shan dalam Perseorangan Perempuan (Bawah 18), manakala Felix Low Guo Zhang menduduki tempat pertama dalam Perseorangan Lelaki (Bawah 18) setelah menentang Awang Mohd Shahrul Fazreen Rismady.

    Sementara itu, Ting Siew Chien memenangi tempat pertama dalam Perseorangan Wanita (Terbuka) setelah menewaskan Yvonne Yong Ya Ying; manakala Wee Tzu Min menduduki tempat pertama selepas mengalahkan Awangku Mohd Sufi Fakhrullah bin Pengiran Mohd Sufian dalam Perseorangan Lelaki (Terbuka).

    Dua beradik, Awangku Mohd Sufi Fakhrullah dan Dayangku Nur Delisha Damia ketika ditemui berkongsi pengalaman mencapai podium masing-masing.

    “Saya cukup aktif menyertai aktiviti dan pertandingan pingpong sejak berusia lima tahun.

    Untuk kejohanan ini, saya berjaya menewaskan beberapa pemain lain tetapi gagal di peringkat akhir. Walaupun begitu, saya akan jadikan ini sebagai pengajaran untuk mengasah lagi bakat pingpong saya bagi memenuhi impian saya untuk menjadi juara pingpong di seluruh Brunei dan seterusnya,” kata Awangku Mohd Sufi Fakhrullah.

    Begitu juga, Dayangku Nur Delisha Damia turut berkongsi bahawa keluarganya sentiasa mementingkan pingpong dan beliau mendapat bimbingan daripada bapanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda