Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erat hubungan, jaringan kerja profesional

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Seramai 20 pegawai yang terdiri daripada pegawai kanan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan agensi penguatkuasaan undang-undang dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Biro Kawalan Narkotik dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengikuti Program Pembangunan Eksekutif Pengurusan Pertengahan PPDB kali ke-4 tahun 2024, hari ini.

    Program tersebut telah dianjurkan oleh PPDB, Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD).
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

    Turut hadir, Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin; Penolong Naib Canselor UBD, Profesor Madya Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra, pengarah-pengarah PPDB, pegawai kanan PPDB dan ILIA, serta pegawai-pegawai kanan dari jabatan-jabatan penguatkuasaan undang-undang yang dijemput.

    Majlis pembukaan dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pengurus Projek, ILIA, UBD, Awang Mohd Hasrul Izzat bin Haji Abdul Wahab.

    Semasa ucapan pembukaan, Dr Asiyah Az-Zahra binti Ahmad Kumpoh menyatakan program tahun ini akan dilengkapi dengan modul-modul baharu seperti pengurusan media dan program jangkauan komuniti. Selain itu beberapa tajuk khas akan diketengahkan seperti kepimpinan dari perspektif Melayu Islam Beraja, Integriti dalam Penguatkuasaan Undang-undang, Pengurusan Insiden Bencana, Sekuriti Siber dan Modern Policing.

    Program tersebut adalah program kali keempat diadakan di mana ia akan dijalankan selama sembilan minggu dan dihasratkan akan terus berjalan setiap tahun dalam memastikan pembangunan kapasiti dan kompetensi pegawai-pegawai PPDB sentiasa dipertingkatkan serta dimajukan secara berterusan.

    Selain itu, ia juga dihasratkan supaya peserta program tersebut akan dapat menjalin hubungan dan jaringan kerja profesional bersama peserta-peserta jemputan dari agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkepentingan serta membuka peluang untuk mengukuhkan kerjasama pada masa hadapan.

    Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bergambar ramai dengan para pegawai kanan yang mengikuti program tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda