Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU, Serbia meterai perjanjian hasilkan bateri litium

    BELGRADE, 19 JULAI – Kesatuan Eropah (EU) dan Serbia menandatangani perjanjian hari ini untuk membangunkan bekalan bateri litium yang dilihat sebagai komponen penting dalam usaha Eropah beralih kepada ekonomi hijau.

    Memorandum persefahaman yang ditandatangani semasa ‘sidang kemuncak bahan mentah kritikal’ di Belgrade itu dilihat sebagai langkah pertama dalam membangunkan sumber mineral Serbia dan berpotensi membina rantaian bekalan, termasuk pembuatan bateri litium dan bahagian komponen.

    Perjanjian tersebut dimeterai hanya beberapa hari selepas keputusan mahkamah menyaksikan kerajaan Serbia meluluskan semula projek perlombongan litium yang telah dihentikan selama dua tahun berikutan protes besar-besaran.

    Litium adalah logam yang bernilai untuk pemasangan bateri kenderaan elektrik, menjadikannya kunci untuk membantu sektor kenderaan utama Jerman beralih kepada pengeluaran yang lebih hijau.

    Serbia mempunyai deposit litium yang luas berhampiran bandar barat Loznica, di mana projek perlombongan yang dipertikaikan oleh gergasi perlombongan Anglo-Australia, Rio Tinto, telah menjadi isu pertikaian politik yang berterusan di negara Balkan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Tiada projek tanpa perlindungan penuh, dan kami tahu ia akan berlaku kerana kami membawa pakar terbaik dari Eropah ke Serbia,” kata Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, semasa sidang kemuncak yang dihadiri oleh Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Maros Sefcovic.

    “Canselor Scholz telah menawarkan sokongan Jerman untuk Serbia membangunkan rantaian nilai pengeluaran litium yang lebih meluas, yang akan membawa kita pelaburan bernilai berbilion-bilion dolar,” tambah Vucic.

    Kerajaan telah mengembalikan lesen untuk projek perlombongan itu awal minggu ini, selepas membatalkan permit yang diberikan kepada Rio Tinto pada tahun 2022 berikutan beberapa siri demonstrasi mengenai kebimbangan alam sekitar. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda