Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum sentuh pentingnya ketaatan kepada ulil amri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Bagi menyemarakkan dan memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik mengadakan Program Semarak Hari Keputeraan, di Dewan Bankuet, Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohd Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

    Majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Program Semarak Hari Keputeraan.

    Program Semarak Hari Keputeraan yang berlangsung pada pagi tadi telah diisikan dengan Forum bertajuk Raja Kita, Prihatin dan Berwibawa: Nikmat Kurnia Allah untuk Negara.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Dr Haji Noralizam dan Dr Mohammad Hilmy Baihaqy selaku ahli-ahli panel di dalam forum bertajuk Raja Kita, Prihatin dan Berwibawa: Nikmat Kurnia Allah untuk Negara. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    Ahli-ahli panel di dalam forum tersebut ialah Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar dan Pengarah Pusat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.

    Forum antara lain menyentuh mengenai ketaatan kepada ulil amri itu adalah sangat penting. Matlamat ketaatan kepada ulil amri itu ialah untuk menjunjung tinggi dan taat kepada perintah Allah SWT dan juga rasulNya ke arah pembentukan negara yang stabil dan harmoni.

    Selain itu, forum jua menekankan untuk kita mensyukuri tiga nikmat yang tiada ternilai yang Negara Brunei Darussalam miliki iaitu negara berkerajaan, raja sebagai pemimpin tertingginya (ulil amri); agama Islam yang terus kukuh dan berkembang dan menjadi agama rasmi negara; dan keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang berterusan dan berkekalan.

    Semua itu wajib dipertahankan, dengan terus kekal beribadat kepada Allah SWT dengan mentauhidkan dan mengagungkanNya.

    Program Semarak Hari Keputeraan merupakan salah satu program Jabatan Penerangan yang telah mula diperkenalkan pada 2019.

    Program tersebut yang berbentuk ilmiah dan keagamaan diharap dapat menyeru rakyat dan penduduk di negara ini untuk terus berikrar menzahirkan rasa syukur dan taat setia yang tidak berbelah bahagi, kasih sayang yang amat mendalam kepada raja yang sangat dicintai.

    Semoga hubungan raja dengan rakyat akan terus mantap bagi menjamin keamanan, kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan yang berterusan di Negara Brunei Darussalam.

    Turut hadir ialah timbalan-timbalan menteri di JPM, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di JPM.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda