Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galeri Somerset House kekal dibuka untuk orang ramai lepas kebakaran

    LONDON, 18 OGOS – Sebahagian daripada kompleks bersejarah Somerset House di London akan kekal dibuka untuk orang ramai, walaupun berlaku kebakaran yang merosakkan bumbung tempat seni itu kelmarin, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Siasatan sedang dijalankan berhubung kebakaran itu, dengan ruang utama ditutup ‘sehingga diberitahu kelak’.

    Galeri Courtauld, yang menempatkan karya seni tidak ternilai, termasuk potret diri Vincent Van Gogh pada tahun 1889 yang menunjukkan dirinya dengan telinga berbalut dan lukisan oleh Claude Monet serta Paul Cezanne, ‘tidak terjejas secara langsung’ oleh kebakaran itu dan akan dibuka semula kepada orang ramai hari ini.

    Menurut kenyataan Somerset House, ‘keselamatan dan kesejahteraan artis, pengunjung dan kakitangan menjadi keutamaan’ dan ruang utama itu akan kekal ditutup sementara Pasukan Bomba London menjalankan siasatan terhadap kebakaran itu.

    Satu acara bertajuk Daytimes x RepresentAsian, yang digambarkan sebagai ‘sehari yang didedikasikan untuk kreativiti Asia Selatan’, telah dibatalkan hari ini.

    London Battle, satu acara perayaan breakdancing, telah dibatalkan kelmarin.

    Pasukan Bomba London berkata 125 anggota bomba dan 20 jentera membantu memadamkan kebakaran di tengah London itu. Tiada kecederaan dilaporkan. – Bernama

    Perkhidmatan kecemasan dilihat di luar Somerset House di tengah London pada 17 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda