Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galtier akan tinggalkan PSG

    PARIS, 5 JULAI – Christophe Galtier akan meninggalkan jawatannya sebagai jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) selepas bersetuju dengan pakej pemecatan bersama juara Perancis itu, sumber yang rapat dengan rundingan itu memberitahu AFP hari ini.

    Galtier, yang mempunyai baki setahun dalam kontraknya, dijangka akan digantikan oleh bekas jurulatih Barcelona dan Sepanyol, Luis Enrique di PSG.

    Kelab itu telah mengadakan sidang akhbar di padang latihan mereka hari ini apabila jurulatih baharu itu akan diumumkan nanti.

    Berita mengenai pemergian Galtier dari kelab milik Qatar itu sudah dijangka sejak akhir musim Ligue 1 yang lalu pada awal Jun.

    Bekas jurulatih Saint-Etienne, Lille dan Nice berusia 56 tahun itu dilantik setahun lalu dan membawa PSG meraih gelaran ke-11 mereka dalam liga Perancis.

    Christophe Galtier berjalan di atas padang semasa sesi latihan di Saint-Germain-en-Laye, di pinggir barat laut Paris pada 12 Mei. – AFP

    Bagaimanapun, mereka hanya berjaya menamatkan musim dengan kelebihan satu mata di hadapan pasukan naib juara, Lens, selepas mencatatkan tujuh kekalahan selepas pertengahan tahun.

    Kejayaan mereka dalam liga juga dibayangi dengan kekecewaan apabila tersingkir dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di tangan Bayern Munich. PSG juga tersingkir dari Piala Perancis pada peringkat yang sama kepada Marseille.

    Di samping itu, minggu-minggu terakhir pengurusan Galtier dicemari dengan tuduhan bahawa dia membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain semasa tugasnya sebelum ini di Nice.

    Dia dengan tegas menafikan tuduhan tersebut, tetapi akan dihadapkan ke mahkamah pada bulan Disember atas tuduhan ‘gangguan moral dan diskriminasi berdasarkan keanggotaan atau bukan keanggotaan yang sebenarnya dalam kumpulan etnik, bangsa atau agama tertentu,’ menurut pendakwa raya di Nice. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda