Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gauff tersingkir daripada Terbuka AS

    NEW YORK, 2 SEPT – Coco Gauff, mengikut jejak Novak Djokovic dan Carlos Alcaraz apabila dia tersingkir daripada Kejohanan Terbuka AS kelmarin selepas tewas kepada Emma Navarro dalam pertarungan sengit yang dibelenggu kesilapan.

    Gauff, yang kini menduduki ranking ketiga dunia, terpaksa akur dengan kekalahan 6-3, 4-6, 6-3 dalam pusingan keempat setelah melakukan 19 kesilapan servis dan 60 kesilapan sendiri.

    Penyingkiran pemain berusia 20 tahun itu bermakna Serena Williams kekal sebagai wanita terakhir yang berjaya memperta-hankan gelaran Terbuka AS, yang dilakukannya pada tahun 2014.

    “Saya kalah dalam pusingan pertama dua tahun lepas dan kini berjaya mara ke suku akhir adalah sesuatu yang amat luar biasa,” kata Navarro, pemain kelahiran Amerika yang akan menentang pemain Paula Badosa dari Sepanyol untuk merebut slot ke separuh akhir.

    “Ini adalah kota kelahiran saya dan ia terasa begitu istimewa bermain di sini. Coco adalah pemain yang luar biasa. Saya sangat menghormatinya dan saya tahu dia akan kembali dan memenangi kejohanan ini suatu hari nanti.”

    Kekalahan Gauff memberikan satu lagi tamparan hebat kepada Grand Slam terakhir musim ini. Djokovic, juara bertahan lelaki, telah disingkirkan dalam pusingan ketiga, menandakan penyingkirannya yang paling awal dalam 18 tahun. Alcaraz, pemenang Terbuka AS 2022 serta juara Terbuka Perancis dan Wimbledon tahun ini, turut tersingkir dalam pusingan kedua.

    “Saya telah memberikan segalanya,” kata Gauff. “Jelas ada perkara dari segi pelaksanaan yang saya rasa boleh diperbaiki, terutama dalam servis. Jika saya dapat melakukannya dengan lebih baik, mungkin ceritanya akan berbeza.”

    Navarro, yang sebelum ini telah menewaskan Gauff di Wimbledon pada bulan Julai, sekali lagi menunjukkan kehebatannya di dalam gelanggang sejak permulaan kejohanan kelmarin. – AFP

    Coco Gauff selepas tewas dalam perlawanan tenis perseorangan wanita 16 menentang Emma Navarro pada hari ketujuh kejohanan tenis Terbuka AS pada 1 September. – AF
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda