Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung berapi di Iceland kembali meletus

    REYKJAVIK, 23 OGOS – Sebuah gunung berapi baharu meletus di semenanjung Reykjanes di barat daya Iceland lewat kelmarin, memuntahkan lava panas ke udara dalam letusan keenam yang melanda wilayah itu sejak Disember, kata pihak berkuasa.

    Imej video secara langsung menunjukkan lahar jingga meletus keluar dari rekahan panjang, menerangi asap yang berkepul naik ke langit malam.

    “Letusan gunung berapi telah bermula. Satu rekahan telah dibuka di timur Sylingarfell,” kata Pejabat Meteorologi Iceland (IMO) dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa letusan itu telah bermula pada pukul 9:26 malam selepas berlaku beberapa siri kejadian gempa bumi.

    IMO pada mulanya menganggarkan panjang rekahan itu pada 1.4 kilometer, sambil menambah dalam kenyataan kemudian bahawa ia telah memanjang kepada 3.9 kilometer dalam masa 40 minit.

    Ia berkata bahawa masih terdapat ‘aktiviti seismik yang ketara’ di bahagian utara rekahan lebih daripada sejam selepas letusan bermula. Gempa bumi bermagnitud 4.0 direkodkan pada 10:37 malam, menurut IMO.

    Berpuluh-puluh orang kelihatan berhenti di tepi jalan utama dari ibu kota Reykjavik ke lapangan terbang Keflavik di Iceland untuk menyaksikan letusan itu, menurut wartawan AFP di tempat kejadian.

    Penyedia perkhidmatan pengemudian udara dan lapangan terbang kebangsaan Iceland, Isavia berkata dalam satu kenyataan bahawa ‘penerbangan ke dan dari Iceland beroperasi seperti biasa walaupun letusan sedang berlaku’. – AFP

    Orang ramai cuba mendapatkan pemandangan letusan gunung berapi dari jauh di persimpangan antara Reykjanesbraut dan jalan ke Grindavik, Iceland pada 22 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda