Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung berapi meletus selepas gempa bumi kuat landa Rusia

    PETROPAVOVSK-KAMCHATSKY, 19 OGOS – Salah satu gunung berapi paling aktif di Rusia telah meletus, memuntahkan kepulan abu setinggi 5 kilometer ke langit di kawasan timur jauh Semenanjung Kamchatka dan mencetuskan amaran ‘kod merah’ untuk pesawat buat sementara waktu ini.

    Gunung berapi Shiveluch mula meletus sejurus selepas gempa bumi kuat pada magnitud 7 melanda pantai timur Kamchatka pada awal Ahad, menurut ahli gunung berapi dari Akademi Sains Rusia. Mereka turut memberikan amaran bahawa satu lagi gempa bumi yang lebih kuat mungkin akan berlaku.

    Institut Vulkanologi dan Seismologi akademi itu mengeluarkan video yang menunjukkan awan abu di atas Shiveluch, yang merebak sejauh lebih 490 kilometer ke timur dan tenggara gunung berapi berkenaan.

    Gunung berapi Ebeko yang terletak di Kepulauan Kuril turut memuntahkan abu setinggi 2.5 kilometer, kata institut itu. Walau bagaimanapun, institut tersebut tidak secara jelas menyatakan sama ada gempa bumi tersebut menyebabkan letusan berkenaan.

    Amaran awan abu ‘kod merah’ yang dikeluarkan buat sementara waktu telah menempatkan semua pesawat di kawasan itu dalam keadaan berjaga-jaga, lapor Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka.

    Laporan berasingan yang disiarkan kelmarin oleh agensi berita rasmi, Tass berkata tiada penerbangan komersial yang terganggu dan tiada kerosakan pada infrastruktur penerbangan. – AP

    Gambar oleh Institut Vulkanologi dan Seismologi Cawangan Timur Jauh Akademi Sains Rusia pada 18 Ogos menunjukkan letusan gunung berapi Shiveluch di Semenanjung Kamchatka, Rusia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda