Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hafazan Al-Quran adalah warisan berharga

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Para graduan diharap dapat memanfaatkan hasil pengajian mereka dengan mengaplikasikan ilmu agama dalam amalan seharian, di mana hafazan ayat-ayat Al-Quran yang dikuasai harus menjadi sebahagian daripada diri para graduan dan sentiasa bersama mereka.

    Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Lembaga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Haflut Takharruj kali ke-12 institut berkenaan yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau turut mengingatkan para graduan bahawa walau di mana sahaja mereka berada dan apa jua kedudukan mereka selepas ini, ayat-ayat Al-Quran yang dihafal haruslah sentiasa menjadi panduan dalam menjalani kehidupan.

    Beliau juga menekankan pentingnya menjaga kemuliaan dan kehormatan hafazan Al-Quran, yang membawa keberkatan bukan hanya kepada diri dan keluarga, tetapi juga kepada masyarakat di negara ini.

    Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa walau apa pun pangkat atau taraf pencapaian yang dicapai oleh para graduan, mereka kini merupakan sebahagian daripada 242 graduan yang telah menamatkan pengajian di peringkat Diploma ‘Aliyah Qiraat sejak kursus itu mula diperkenalkan kira-kira 14 tahun yang lalu.

    Antara graduan Haflut Takharruj ke-12 ITQSHHB yang diraikan pada majlis tersebut.– GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Di samping itu, institusi tersebut juga telah melahirkan dan membekalkan negara dengan sebahagian rakyat generasi baharunya yang merupakan individu-individu yang hafal Al-Qur’an.

    “Mereka ini berpotensi bukan sahaja dalam kerjaya perkhidmatan agama, tetapi juga dalam perkhidmatan lain, seperti yang kita lihat pada masa kini,” jelas beliau.

    Beliau turut menyatakan bahawa kewujudan ITQSHHB sebagai sebahagian daripada pusat pendidikan dan pengajian di negara ini mempunyai tujuan yang jelas, di mana usaha merealisasikan tujuan murni penubuhan institut berkenaan, pengajian hafazan Al-Quran di ITQSHHB juga diselaraskan dengan dasar pendidikan negara.

    Sehubungan itu, ITQSHHB sebagai pusat pengajian agama turut menawarkan mata pelajaran umum mengikut sukatan sistem pendidikan kebangsaan, serupa dengan pengajian agama di sekolah-sekolah menengah agama dan Arab.

    “Pada masa yang sama, pengajian hafazan Al-Quran di ITQSHHB telah dikembang dan ditingkatkan, dengan pengenalan pengajian peringkat Diploma ‘Aliyah Qiraat sebagai hasil daripada pengembangan dan peningkatan tersebut,” tambahnya.

    Yang Berhormat Pehin turut menekankan bahawa pemikiran untuk dikaji lebih lanjut adalah untuk mengemas dan meluaskan pelajaran hafazan itu sendiri antaranya ialah dengan menambah unsur pengajian mentadabburkan ayat-ayat Al-Quran.

    Beliau juga menyatakan kepen-tingan mempertimbangkan latihan-latihan kemahiran yang bukan sahaja bermanfaat kepada para graduan dan keluarga mereka, tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat secara keseluruhan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda