Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hakim Danish bakal wakil Moto3 Malaysia

    SEPANG, 19 JULAI – Pelumba muda meningkat naik, Hakim Danish Ramli dijangka bakal menjadi antara wakil termuda negara beraksi di pentas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini di Grand Prix (GP) Malaysia pada 1 hingga 3 November ini menerusi tiket wildcard.

    Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, berkata semuanya bergantung kepada kebenaran diberikan pihak penganjur memandangkan umur Hakim Danish yang belum mencecah usia 18 tahun ketika ini.

    “Untuk beraksi menerusi tiket wildcard di Moto3 saya rasa umur minimum pelumba adalah 18 tahun dan umur Hakim Danish baru 17.

    Jadi kita akan bincang lebih lanjut dengan pihak Dorna selaku pihak penganjur jika mereka boleh berikan pengecualian untuk had umur.

    “Peluang itu memang ada, cuma sama ada ia dibenarkan atau tidak kerana bergantung kepada dana dan sponsor yang kita akan perolehi untuk slot wildcard. Kalau boleh kita hendak ada pelumba beraksi di MotoGP Malaysia sebab tahun lepas kita ada Damok (Syarifuddin Azman),” katanya.

    Gambar Envato

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran SIC Petronas Duathlon, hari ini.

    Hakim Danish ketika ini bersaing dalam perlumbaan kejuaraan RedBull MotoGP Rookies Cup 2024 dan juga kejuaraan dunia GP bersama pasukan SIC Racing-MSI.

    Dalam pada itu, Azhan Shafriman berkata, kejohanan duathlon yang bakal diadakan pada 16 November  ini merupakan antara acara sukan berskala besar yang pernah diadakan selain sukan permotoran.

    Beliau berkata SIC kini lebih terbuka untuk menjadi tempat kepada aktiviti sukan lain berbanding hanya tertumpu kepada sukan permotoran. 

    “Kalau nak ikutkan dari segi penyertaan terbesar, ini yang pertama kali, tetapi pada 2015 kita ada satu duathlon tetapi penyertaan begitu terhad.

    “Jadi ia bukan kali pertama, tetapi kali pertama untuk penyertaan terbesar,” ujarnya – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda