Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 10 juta paun daging tercemar ditarik balik

    HOUSTON, 11 OKT – Hampir 10 juta paun produk daging dan ayam yang diproses di sebuah kilang di negeri tengah Amerika Syarikat (AS), Oklahoma ditarik balik selepas kemungkinan pencemaran bakteria listeria, yang menyebabkan kematian sekitar 260 orang setiap tahun di AS, lapor media tempatan kelmarin.

    Penarikan balik ini dilakukan oleh syarikat BrucePac. Ia melibatkan 75 produk daging dan ayam yang dihasilkan antara 19 Jun hingga 8 Oktober di kemudahan mereka di Durant, Oklahoma dan diedarkan secara meluas di seluruh negara, lapor Xinhua.

    Tarikh luput produk-produk ini adalah antara 19 Jun 2025 hingga 8 Okt 2025.

    Awal minggu ini, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengesan bakteria listeria dalam sampel ayam semasa pemeriksaan rutin dan mengenal pasti ayam sedia untuk dimakan keluaran BrucePac sebagai sumber pencemaran.

    “Restoran, institusi, dan tempat-tempat lain digesa agar tidak menghidangkan atau menggunakan produk ini. Produk ini perlu dibuang atau dipulangkan ke tempat pembelian,” menurut kenyataan USDA pada Rabu.

    Bakteria listeria boleh menyebabkan listeriosis, yang merupakan penyebab kematian ketiga terbesar akibat penyakit bawaan makanan di AS.

    Data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS menunjukkan bahawa kira-kira 1,600 orang dijangkiti listeria setiap tahun, dengan simptom seperti demam, sakit otot dan keletihan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda