Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    IEED Exchange kuatkan hubungan akademik & industri

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Dalam usaha untuk mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan industri, Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengorak langkah signifikan menerusi Acara Pertukaran Pembangunan Usahawan dan Penglibatan Industri (IEED) yang berlangsung di Bangunan Pusat Pelajar, UBD kelmarin.

    Acara yang dianjurkan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Pembangunan Usahawan dan Penglibatan Industri) dihadiri oleh lebih 70 orang yang terdiri pihak pengurusan kanan dan pegawai kanan UBD, profesional industri, akademia, penyelidik, alumni dan pelajar.

    Pada majlis berkenaan, Penolong Naib Canselor bagi Pembangunan Usahawan dan Penglibatan Industri, Dr Haji Masairol Haji Masri menyatakan acara itu menyaksikan pelancaran 5 sumber dan latihan keusahawanan inovatif serta bengkel yang bertujuan untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk maju dalam persekitaran perniagaan dinamik serta memupuk idea bernas menjadi usaha yang berjaya.

    Dr Haji Masairol menyampaikan kata alu-aluannya.

    Beliau turut menekankan pentingnya untuk memupuk dialog aktif bersama rakan-rakan kongsi industri melalui kolaborasi akademik-industri untuk menjana kerjasama seperti latihan, bimbingan, penerokaan peluang baharu dan usaha-usaha kerjasama yang lain.

    Turut hadir semasa acara berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji yang turut menyempurnakan pelancaran 5 buku panduan iaitu The Launchpad Guidebook, The Incubation Handbook, The Pre-Venture Lab Guide Book, The Venture Lab Program Book (V4) dan The EntreMasterClass Program Book.

    Atas & Bawah: Dr Hazri semasa menghadiri acara berkenaan.

    Pertukaran dan panduan berkenaan yang disasarkan bagi pelajar dan akademia telah dirangka untuk memupuk minda keusahawanan di dalam universiti serta memainkan peranan penting dalam menghubungkan jurang antara aplikasi industri dan penyelidikan akademik.

    Majlis seterusnya diikuti dengan sesi rangkaian untuk meningkatkan penglibatan industri, meningkatkan keterlihatan dan mempromosikan kolaborasi dan kerjasama pelbagai disiplin dengan industri.

    Sesi itu menyediakan para hadirin dengan gambaran peta jalan strategik bagi pelaksanaan Pelan Tindakan Keusahawanan UBD yang bermatlamat untuk menangani keperluan praktikal industri.

    Pertukaran IEED menandakan permulaan siri inisiatif bertujuan untuk menguatkan lagi hubungan antara UBD dengan rakan-rakan kongsi industrinya, memastikan universiti berkenaan terus memainkan peranan dalam menerajui perkembangan negara.

    Antara pameran yang diketengahkan semasa acara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UBD.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda