Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imej tular: Tiada taufan dikesan di Laut China Selatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) ingin menjelaskan mengenai imej tular di media sosial hari ini yang mengatakan bahawa satu sistem taufan di Laut China Selatan dijangka akan berlaku esok.

    Sehubungan itu, BDMD ingin memaklumkan bahawa tidak ada sistem taufan dikesan di Laut China Selatan pada masa ini. Berdasarkan maklumat terkini, satu kawasan tekanan rendah diperhatikan berada di Filipina pada pukul 8 pagi waktu tempatan. Kawasan tekanan rendah berkenaan diramalkan akan bergerak menuju ke Laut China Selatan dan akan bergerak ke arah barat laut menjauhi Negara Brunei Darussalam.

    Oleh yang demikian, keadaan cuaca di negara ini untuk beberapa hari yang akan datang dijangka sebahagian berawan dan sekali-sekala berangin, dengan hujan atau hujan berpetir berasingan berpotensi berlaku pada waktu petang dan malam.

    Manakala, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.8 hingga 1.5 meter sehingga 15 Julai nanti. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak berasa resah dan untuk terus mengikuti maklumat cuaca rasmi yang dikeluarkan oleh BDMD melalui aplikasi bimbit BruneiWX, laman rasmi media sosial BDMD, laman sesawang atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

    BDMD juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.

    Imej tangkapan skrin yang tular. – GAMBAR SERAHAN BDMD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda