Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia lancar kelab pelaburan pelancongan baharu

    JAKARTA, 20 OGOS – Indonesia melancarkan Indonesia Tourism Investor Club (ITIC), satu inisiatif baharu yang direka untuk meningkatkan komunikasi antara pelabur, penggubal dasar dan pihak berkuasa tempatan.

    Pengasasnya, Teguh Anantawikrama dalam satu kenyataan hari ini berkata, ITIC akan menawarkan akses analisis pasaran, trend pelaburan dan maklumat terkini mengenai peluang dalam sektor itu kepada ahli-ahlinya. Kelab ini ditubuhkan sebagai respons kepada maklum balas daripada Forum Pelaburan Pelancongan Indonesia (ITIF) yang meminta platform komunikasi yang lebih teratur dan berfokus.

    “Mesyuarat ini adalah penting bagi pelabur yang memerlukan maklumat terkini mengenai ekonomi dan projek pelancongan baharu. Matlamat kami adalah untuk mewujudkan sebuah kelab yang, walaupun eksklusif, akan sentiasa mengemas kini ahli-ahli mengenai perkembangan pelaburan serantau dan projek-projek baharu,” katanya.

    Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Salahuddin Uno memuji ITIC sebagai alat yang bernilai untuk menghubungkan pelabur dalam sektor pelancongan.

    “Inisiatif ini mendorong pemikiran inovatif untuk meningkatkan pelaburan dan memenuhi keperluan pelaburan kita,” katanya semasa taklimat mingguan di kementerian kelmarin.

    Pada separuh pertama 2024, pelaburan pelancongan Indonesia berjumlah IDR $23.71 trilion, iaitu kira-kira AS$1.58 bilion dengan 61 peratus daripadanya hasil pelabur asing termasuk dari Singapura, India, dan Australia. – Bernama

    Gambar  Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda