LONDON, 20 SEPT – Itali, juara bertahan Piala Davis, akan bertemu Argentina dalam Peringkat Final 8 pada November selepas undian peringkat kalah mati dibuat kelmarin.
Turut disenarai dalam undian atas, Amerika Syarikat (AS) akan berdepan Australia, manakala dalam undian separuh bawah, juara 2022 Kanada akan menentang Jerman dan Sepanyol akan melawan Belanda.
Sebanyak 16 pasukan bertanding dalam peringkat kumpulan Piala Davis yang berlangsung di Bologna, Manchester, Valencia dan Zhuhai minggu lalu. Pemenang kumpulan serta pasukan naib johan di setiap lokasi mara ke peringkat kalah mati dalam kejohanan tahunan pasukan lelaki.
Lapan pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bersaing untuk merebut gelaran juara 2024 di Malaga, Sepanyol, dari 19 hingga 24 November.
Setiap pusingan kalah mati akan terdiri daripada dua perlawanan perseorangan dan satu perlawanan beregu.
Itali berjaya memenangi kesemua tiga perlawanan kumpulan mereka meskipun tanpa juara baharu Terbuka AS, Jannik Sinner. Bagaimanapun, Sinner dijangka kembali menyertai pasukan di Sepanyol.
Pemain nombor satu dunia itu berkemungkinan berhadapan dengan pemain nombor tiga dunia, Carlos Alcaraz, dalam perlawanan akhir pada 24 November memandangkan Itali dan pasukan tuan rumah berada pada undian yang berbeza. – AFP