Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPES, SDT lancar operasi bersepadu

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    TEMBURONG, 15 MEI – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menjalankan operasi bersepadu ke atas premis-premis perniagaan di Daerah Temburong pada baru-baru ini.

    Menurut JPES, hasil daripada operasi sepadu tersebut mendapati bahawa premis-premis perniagaan yang diperiksa di Daerah Temburong telah mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya di mana barangan seperti minyak masak dan susu tepung formula telah mematuhi harga yang telah ditetapkan.

    Barangan tersebut tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan, dan barangan yang dijual dalam premis perniagaan telah dibubuh tanda harga dengan jelas dan betul.

    Sementara itu, Unit SDT pula telah mendapati satu daripada lapan unit alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan perdagangan, gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 iaitu menggunakan alat sukatan cecair atau cecurung yang telah tamat tempoh sah penggunaan yang dibenarkan.

    Manakala Unit SDT telah mengeluarkan satu Notis Penyitaan ke atas Syarikat Hasnornah Enterprise Sdn Bhd dan pemilik syarikat berkenaan dikehendaki hadir ke pejabat Unit SDT mengikut tadahan alat didaftarkan dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan.

    ATAS & BAWAH : Pegawai JPES dan SDT semasa membuat pemeriksaan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES

    Sehubungan itu JPES dan Unit SDT mengingatkan para peniaga untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika dan wajar dengan sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Perniagaan yang beretika dan wajar akan membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan seterusnya merangsang pertumbuhan aktiviti perekonomian dalam negara.

    JPES menjelaskan tujuan operasi sepadu yang dilaksanakan secara bulanan itu adalah bagi memastikan kepatuhan terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya serta Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 masing-masing di bawah seliaan JPES dan Unit SDT.

    Sebarang pertanyaan lanjut bagi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau aplikasi PenggunaBijak.

    Sementara itu, bagi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan menerusi e-mel sdt@mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda