Saturday, May 4, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Jutaan pelajar Filipina kembali ke sekolah

    MANILA, 22 OGOS – Jutaan kanak-kanak di Filipina hari ini kembali ke sekolah ketika musim akademik bermula sejak wabak COVID melanda, menjadi salah satu negara terakhir di dunia yang menyambung semula pembelajaran sepenuh masa secara bersemuka.

    Di Sekolah Rendah Pedro Guevara di Manila, kanak-kanak kembali semula ke sekolah dengan memakai pelitup muka dan berpakaian seragam sambil memeriksa suhu dan mensanitasi tangan mereka.

    Meskipun tercetus amaran krisis pendidikan di negara itu akibat penutupan bilik darjah, sekolah Pedro Guevara merupakan antara yang masih mengguna pakai sistem hibrid pembelajaran iaitu secara bersemuka dan online. Hampir 6,000 lagi pelajarnya kembali ke kelas untuk pendidikan bersemuka menjelang November ini – tarikh akhir ditetapkan oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr sejurus memegang jawatan dua bulan lalu.

    Pelajar darjah enam, Sophia Macahilig berkata, dia ‘teruja’ untuk bertemu rakan sekelas dan gurunya selepas dua tahun pelajaran Zoom.

    “Dulu kami berseronok dan kini saya boleh berseronok semula,” katanya yang berusia 11 tahun kepada AFP.

    Seorang budak perempuan menangis semasa pembukaan semula sekolah di Sekolah Rendah San Juan di Metro Manila, Filipina.Jutaan kanak-kanak memakai pelitup muka dan berpakaian seragam sekolah memulakan persekolahan bersemuka di seluruh negara itu selepas hampir tiga tahun penutupan akibat wabak COVID. – AP

    Namun, ramai pelajar perlu mengejar silibus pembelajaran dan kokurikulum lainnya.

    Malah, Bank Dunia dan agensi lain pernah melaporkan bahawa sembilan daripada 10 kanak-kanak Filipina ‘tidak dapat membaca teks mudah dengan pemahaman’ pada usia 10 tahun.

    Hanya 10 negara disenaraikan dalam situasi sama termasuklah Afghanistan, Laos, Chad dan Yaman.

    Ketika sekolah Filipina ditutup, program ‘pembelajaran gabungan’ membabitkan kelas dalam talian, bahan bercetak dan pembelajaran yang disiarkan di televisyen serta media sosial diperkenalkan.

    Apabila kelas bersemuka disambung semula, masalah lama dijangka berterusan iaitu saiz kelas yang besar, kaedah pengajaran yang lapuk, kemiskinan, dan kekurangan infrastruktur asas – seperti tandas – yang dipersalahkan kerana menyumbang kepada krisis pendidikan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...