Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kadar pengangguran di China meningkat

    BEIJING, 18 OGOS – Kadar pengangguran belia di China meningkat kepada 17.1 peratus pada Julai.

    Angka rasmi itu menunjukkan ia menjadi paras tertinggi tahun ini, ketika negara itu menghadapi krisis ekonomi.

    Peningkatan kadar pengangguran itu dipengaruhi oleh beberapa faktor utama, termasuk sektor hartanah yang dibebani hutang serta ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dengan negara Barat.

    Perdana Menteri China, Li Qiang pada Jumaat, menggesa agar syarikat-syarikat yang menghadapi kesukaran diberi perhatian sewajarnya, serta masalah yang mereka hadapi diselesaikan secara berkesan, menurut laporan agensi berita Xinhua.

    Data yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Negara (NBS) menunjukkan kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 16 hingga 24 tahun meningkat ketara daripada 13.2 peratus pada Jun.

    Pada Jun 2023, kadar pengangguran belia mencatat kemuncaknya pada 21.3 peratus, sebelum pihak berkuasa menangguhkan penerbitan angka tersebut dan mengubah metodologi untuk tidak memasukkan pelajar dalam statistik berkenaan.

    Hampir 12 juta graduan universiti menamatkan pengajian pada Jun tahun ini, menambah tekanan dalam pasaran kerja yang sudah pun mencabar, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran pada Julai.

    Presiden China, Xi Jinping, pada Mei lalu menekankan bahawa isu pengangguran belia perlu diberi keutamaan dalam usaha negara menangani masalah ini. – AFP

    Li Qiang, menyampaikan ucapan semasa majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Juara Baharu Forum Ekonomi Dunia (AMNC24) di Dalian, wilayah Liaoning, timur laut China, pada 25 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda