Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanada kurangkan ambilan pekerja asing sementara

    OTTAWA, 27 OGOS – Kanada akan mengurangkan pengambilan pekerja asing sementara di bawah peraturan yang diperketatkan yang diumumkan kelmarin.

    Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pemulihan dasar imigresennya yang murah hati yang menyebabkan lonjakan pendatang baharu yang sukar dikawal.

    Peraturan itu termasuk memulakan semula larangan permit pekerja asing sementara untuk pekerjaan bergaji rendah di bandar dengan kadar pengangguran enam peratus atau lebih tinggi.

    Kanada baru-baru ini menyaksikan pertumbuhan populasi tertinggi dalam lebih setengah abad, disokong oleh imigresen. Ketika penduduk negara itu melepasi 40 juta, ia turut menyaksikan pengangguran yang bertambah.

    Peraturan migrasi tersebut mesti, “sesuai dengan ekonomi semasa untuk warga Kanada, tetapi juga untuk pasaran pekerjaan kerana ia terus mengecil,” kata Menteri Imigresen, Marc Miller pada sidang akhbar.

    “Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah tambahan jika perlu,” tambahnya.

    Di samping had ke atas pendatang sementara yang diumumkan pada Mac, sejumlah 65,000 pekerja asing sementara setahun akan dibenarkan masuk ke negara ini. Had itu mengurangkan populasi penduduk pendatang sementara daripada 6.2 peratus kepada 5 peratus.

    Ottawa telah bersetuju dengan tuntutan daripada perniagaan untuk meningkatkan akses kepada program pekerja asing sementara ketika syarikat bergelut untuk mengisi kekosongan pekerjaan apabila ekonomi berkembang selepas sekatan pandemik Covid-19.

    Kerajaan bertindak balas dengan hampir menggandakan jumlah pekerja asing sementara yang diterima masuk ke negara itu, dan memperluaskan peraturannya untuk membenarkan sektor seperti makanan segera. Sebelum ini kebanyakannya dibawa masuk bekerja dalam industri pertanian.

    Tetapi kadar pengangguran Kanada sepanjang tahun lalu melonjak kepada 6.4 peratus dan lonjakan populasi memberi tekanan hebat terhadap perumahan dan perkhidmatan sosial.

    “Kami mahu memastikan bahawa orang Kanada mempunyai akses kepada pekerjaan tersebut,” dan menghapuskan penyalahgunaan dalam program pekerja asing sementara, ulas Menteri Pekerjaan, Randy Boissonnault.

    Antara peraturan baharu yang diumumkan kelmarin adalah permit untuk pekerjaan bergaji rendah akan dikeluarkan hanya untuk satu tahun, berubah daripada dua tahun. Sektor pertanian, penjagaan kesihatan dan pembinaan akan dikecualikan.

    Bahagian pekerja asing sementara yang boleh diambil oleh majikan juga akan jatuh ke tahap pra-pandemik iaitu 10 peratus, daripada 20 peratus. Peraturan baharu pekerja asing sementara tersebut akan berkuat kuasa pada 26 September. – AFP

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda