Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan ancam ribuan penduduk Greece

    PENTELI, 12 OGOS – Beribu-ribu orang yang tinggal di sekitar Athens melarikan diri dari rumah mereka hari ini, termasuk di bandar bersejarah Marathon, ketika kebakaran hutan yang besar menghampiri ibu negara walaupun usaha ‘manusia luar biasa’ telah diambil bagi mengawal kebakaran, kata pegawai.

    Pihak berkuasa mengarahkan sekurang-kurangnya lima lagi komuniti dan dua hospital di timur laut Athens untuk dipindahkan selepas lapan kampung berdekatan, termasuk Marathon, diarahkan untuk berpindah kelmarin.

    Datuk Bandar Marathon, Stergios Tsirkas berkata bandar itu, yang dinamakan sempena perlumbaan jarak jauh yang menjadi tumpuan Sukan Olimpik, berdepan ‘malapetaka besar’.

    Tembok api sepanjang 30 kilometer, setinggi lebih 25 meter di beberapa tempat, sedang bergerak ke arah Athens, lapor penyiar awam, ERT.

    Bau asap tersebar di pusat Athens ketika awan kelabu tebal menyelubungi Gunung Pentelicus, juga dikenali sebagai Gunung Pentelikon, yang kelihatan terletak di atas ibu negara itu dan terkenal kerana menghasilkan marmar yang digunakan di Acropolis dan bangunan purba lain.

    Lapan orang telah dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan dan pihak berkuasa membuka stadium Olimpik di utara Athens bagi menempatkan mereka yang menyelamatkan diri. – AFP

    Kuil Parthenon di atas bukit Acropolis diselubungi asap akibat kebakaran hutan, di Athens kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda