Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan Perancis paksa ribuan orang dipindahkan

    MARSEILLE, 19 OGOS – Dua kebakaran hutan di selatan Perancis memaksa beberapa ribu orang melarikan diri sebelum api berjaya dikawal, kata pihak berkuasa hari ini.

    Kira-kira 3,000 pelancong telah dipindahkan dari tapak perkhemahan ke sebuah bangunan perbandaran di bandar pantai Canet-en-Roussillon, berhampiran bandar Perpignan, ketika menghadapi kebakaran yang dimarakkan oleh angin kencang, kata perkhidmatan penyelamat dalam satu kenyataan.

    Kebakaran itu, yang memusnahkan sebuah rumah bergerak dan merosakkan sebahagian daripada lima rumah yang lain, telah dikawal, kata mereka.

    Sementara itu, di pantai Mediterranean, kebakaran yang memaksa berpuluh-puluh orang meninggalkan rumah mereka di bandar pantai Frontignan, berhampiran bandar Montpellier, juga telah dipadamkan.

    “Api berjaya dikawal selama dua jam setengah sekarang,” beritahu jurucakap bomba serantau, Jerome Bonnafoux, kepada AFP sejurus selepas matahari terbit.

    “Kami masih berusaha mengawal kebakaran kerana terdapat beberapa titik panas di mana risiko ia terbakar semula adalah tinggi,” tambahnya.

    “Daripada 600 anggota bomba yang bergegas memadamkan kebakaran kelmarin, separuh dijangka terus bekerja di tapak itu sepanjang hari.”

    Kebakaran itu, yang telah memusnahkan sekurang-kurangnya 740 ekar tanah, tercetus berhampiran lebuh raya A9 dari Montpellier ke sempadan Sepanyol. – AFP

    Sebuah jentera bomba bergerak melepasi kawasan kebakaran semasa rondaan di le massif de la Gardiole, utara Frontignan, selatan Perancis, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda