Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemarau punca keciciran sekolah meningkat

    MUDZI, ZIMBABWE – Pada pagi Selasa, Talent yang berusia 5 tahun sepatutnya berada di sekolah. Sebaliknya, dia sedang mencari buah-buahan sebagai makanan yang diharapkan oleh keluarganya kerana tanaman telah layu akibat cuaca panas.

    Salahkan fenomena El Nino yang mengubah cuaca di seluruh dunia selama lebih setahun, atau masalah perubahan iklim yang lebih besar yang melanda benua Afrika. Nenek budak lelaki itu, Winnie Chihota, tahu dia sedang menyaksikan sebahagian daripada generasi merosot.

    Bagi kebanyakan penduduk di daerah Mudzi di timur laut Zimbabwe, tanaman bermakna kelangsungan hidup. Apabila tanaman gagal, masa depan juga terancam. Tiada pendapatan bermakna tiada cara untuk membayar AS$25 untuk yuran sekolah atau untuk pakaian seragam sekolah. Dua anak Chihota sendiri berisiko meninggalkan sekolah.

    Manakala Talent tidak pernah berpeluang untuk memulakan persekolahan.

    Tanaman yang gagal juga bermakna anak-anak tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan ketika mereka berada di kelas.

    Wanita dengan kanak-kanak berjalan di sepanjang laluan yang kering dan berdebu di Mudzi, Zimbabwe. – AP
    Kanak-kanak memakan bubur yang disediakan di pusat pemakanan di Mudzi, Zimbabwe, pada 2 Julai. – AP

    “Seorang kanak-kanak pengsan baru-baru ini di sekolah kerana kelaparan,” kata Chihota, sambil menyusun buah-buahan yang dibawa pulang oleh Talent dan kanak-kanak lain.

    Buah-buahan itu akan dikeringkan untuk simpanan makanan pada masa depan.

    Kebanyakan keluarga kini hanya makan satu hidangan jagung atau sorghum sehari.

    Kanak-kanak adalah yang paling berisiko selepas El Nino, fenomena iklim yang berlaku secara semula jadi, menyebabkan beberapa hari paling panas dalam beberapa dekad di bahagian selatan dan timur Afrika. Ia juga menyebabkan beberapa banjir terburuk dalam ingatan.

    Ia memusnahkan banyak plot ladang kecil yang mengekalkan kelangsungan hidup keluarga. Lebih daripada 60 peratus penduduk Zimbabwe yang berjumlah sekitar 15 juta tinggal di kawasan luar bandar di mana pertanian merupakan sumber makanan dan pendapatan utama.

    Kebimbangan segera adalah kelaparan. Di Zimbabwe, 580,000 kanak-kanak berisiko mengalami malnutrisi, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), apabila kesan El Nino memburukkan lagi krisis kemanusiaan akibat kegawatan ekonomi dan wabak penyakit seperti taun.

    Masalah yang lebih besar ialah pendidikan anak-anak. Sekolah telah menjadi kemewahan.

    Kanak-kanak berhenti sekolah untuk bekerja. Remaja perempuan terpaksa ponteng kelas kerana tidak cukup air untuk membersihkan diri semasa haid, atau mereka perlu tinggal di rumah untuk menjaga adik-beradik mereka ketika ibu bapa keluar mencari kerja.

    Sesetengah gadis dipaksa berkahwin untuk meringankan beban kewangan, menurut Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF).

    Krisis itu dibayangi oleh krisis di tempat lain seperti Ukraine, Gaza dan Sudan, kata organisasi kemanusiaan, yang bermakna dana daripada penderma mungkin sukar diperoleh.

    “Sepatutnya terdapat rasa yang mendesak,” kata Yves Willemot, jurucakap UNICEF untuk Zimbabwe.

    Kemarau mengancam pendidikan hampir dua juta kanak-kanak di Zimbabwe, dengan sesetengah daripadanya berhenti sekolah secara tetap dan yang lain terpaksa ponteng kelas, kata agensi kemanusiaan PBB. Lebih 45,000 kanak-kanak tercicir dari sekolah semasa El Nino sebelum ini pada musim tanaman 2015-2016, iaitu 3,000 lebih daripada purata tahunan, katanya. Kerajaan bagaimanapun masih mengumpul angka untuk El Nino terkini.

    Negara-negara serantau yang turut terjejas akibat cuaca ekstrem menghadapi cabaran yang serupa. Di Malawi, yang dilanda kitaran banjir dan kemarau yang ganas sejak tiga tahun lalu, lebih sedikit kanak-kanak menghadiri kelas. Di sesetengah sekolah, separuh daripada murid biasanya tidak hadir, menurut laporan pada bulan Mei oleh organisasi kemanusiaan tempatan dan antarabangsa termasuk Youth Net and Counselling (YONECO) yang berpangkalan di Malawi.

    “Keluarga harus memilih antara mencari makanan atau menghantar anak ke sekolah,” kata laporan itu. Guru sukarelawan tidak lagi melaporkan diri di beberapa buah sekolah ‘sekali gus lebih merosotkan kualiti pendidikan’.

    Negara jiran, Zambia menggunakan program pemberian makanan sekolah yang menyasarkan lebih dua juta kanak-kanak untuk meningkatkan kehadiran ke sekolah.

    Zimbabwe baru-baru ini melancarkan program serupa di tengah-tengah kebimbangan mengenai peningkatan kadar ketidakhadiran dan keciciran yang disebabkan oleh kemarau, kata Taungana Ndoro, pengarah komunikasi dan advokasi di kementerian pendidikan.

    “Jaminan sekurang-kurangnya satu hidangan panas yang baik setiap hari telah menjadi insentif yang kuat bagi keluarga untuk mengutamakan menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya.

    Bagi mereka yang sudah berhenti sekolah, terutamanya gadis-gadis, ia mungkin sudah terlambat, kata Nyaradzo Mashayamombe, seorang aktivis dan pengasas Tag a Life, sebuah organisasi yang menjalankan kempen #everychildinschool bagi mendesak untuk menghapuskan yuran sekolah bagi kanak-kanak daripada keluarga miskin.

    “Apabila kemarau melanda seperti ini, langkah segera adalah perkahwinan. Tawaran untuk jalan keluar kepada permasalahan ini, boleh menjadi sangat memikat kepada seorang gadis malah ibu bapa,” katanya, sambil menambah bahawa ramai yang akhirnya terperangkap dengan suami yang lebih tua dan kasar.

    “Tiada jalan keluar. Ia telah menghilangkan potensi mereka dengan impian mereka terhenti serta kitaran kemiskinan akan berterusan,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda