Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian moral Taliban enggan beri kerjasama

    KABUL, 30 OGOS – Kementerian moral kerajaan Taliban berkata, ia tidak akan bekerjasama dengan misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan, memanggilnya “pihak yang bertentangan”.

    Pengumuman itu dibuat selepas misi PBB (UNAMA) memberi amaran bahawa undang-undang moral baharu – mewajibkan wanita menutup seluruh badan dan tidak meninggikan suara – akan merosakkan prospek untuk terlibat dengan masyarakat antarabangsa.

    Kementerian Taliban bagi Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat (PVPV) berkata, “disebabkan propaganda berterusannya, PVPV tidak akan memberikan sebarang sokongan atau kerjasama dengan UNAMA, yang akan dianggap sebagai pihak yang bertentangan”.

    Minggu lalu, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Afghanistan, Richard Bennett dilarang memasuki negara itu selepas menyertai pakar-pakar PBB yang lain dalam satu kenyataan menggesa masyarakat antarabangsa untuk “tidak menormalkan pihak berkuasa de facto atau pelanggaran hak asasi manusia mereka yang teruk” .

    Ketua jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid memberitahu media tempatan Tolo News bahawa Bennett “dilantik ke Afghanistan untuk menyebarkan propaganda dan dia bukan orang yang boleh dipercayai kata-katanya.”

    Pihak berkuasa Taliban, yang masih belum diiktiraf secara rasmi oleh mana-mana negara, masih mendesak untuk mengisi kerusi Afghanistan di PBB, yang disandang oleh bekas pegawai kerajaan disokong asing yang digulingkan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda