Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Enam ekor kerbau dan empat ekor kambing telah dikorbankan bagi Majlis Ibadah Korban Kementerian Pertahanan bersempena Hari Raya Aidiladha tahun 1445 Hijrah yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison dan seluruh surau di perkhemahan-perkhemahan, hari ini.
Majlis Ibadah Korban berkenaan dilaksanakan bagi melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan, di samping memberikan peluang Kementerian Pertahanan melaksanakan ibadah sunat serta memeriahkan hari-hari kebesaran Islam.
Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan pengagihan daging-daging korban ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, para pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan.
Jemputan khas yang turut diundang pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Haji Hamzah bin Haji Sabtu; Pemangku Pengarah Urusan, Zakat, Wakaf dan Baitulmal, Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, ketua-ketua kampung dan imam-imam dari sekitar kawasan berhampiran.
Daging-daging korban berkenaan diagihkan kepada seramai 74 penerima yang terdiri daripada asnaf dan penduduk berhampiran di Mukim Berakas A.