Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Sebanyak 73 pain darah berjaya dikumpul dalam kempen derma darah Nissan Blood Drive yang dianjurkan oleh Nissan Brunei dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Bilik Pameran Nissan, Beribi, hari ini.
Kempen yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 2 petang tersebut bertujuan mengalu-alukan masyarakat dan orang ramai supaya sama-sama membantu untuk menambahkan lagi bekalan darah.
Nissan Brunei menjelaskan mereka berasa teruja dapat menganjurkan acara seumpama ini untuk membantu lebih ramai orang yang memerlukan.
Kempen berkenaan juga merupakan tanggungjawab sosial korporat Nissan bagi menunjukkan komitmen syarikat untuk memberikan kembali kepada masyarakat dengan menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan untuk menderma darah.
Semasa kempen itu, orang ramai juga berpeluang membuat pemeriksaan paras gula, kolesterol, asid urik hanya untuk 30 orang pertama.