Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerja pemulihan menara bata dijalankan di kompleks Angkor

    PHNOM PENH, 21 OGOS – Ahli arkeologi Pihak Berkuasa Kebangsaan (ANA) APSARA Kemboja telah mula memulihkan menara bata G15 kuil Phnom Bakheng di Taman Arkeologi Angkor yang terkenal di barat laut wilayah Siem Reap, kata kenyataan berita ANA hari ini.
     
    Menara bata yang musnah, terletak di selatan kuil purba Phnom Bakheng, berusia lebih 1,000 tahun dan kini menghadapi isu struktur yang ketara, menurut siaran berita itu.
     
    Chhun Ratana, pegawai dari Jabatan Pemuliharaan Monumen dan Arkeologi Pencegahan ANA, berkata bahawa projek pemulihan itu adalah untuk mengelakkan monumen bersejarah tersebut daripada terus merosot.
     
    “Menara G15 telah mengalami kerosakan yang besar disebabkan usianya, kekurangan penyelenggaraan jangka panjang dan faktor persekitaran,” katanya. 
     
    “Keadaan menara semakin teruk, dengan kemerosotan sepenuhnya jelas dari dinding ke 
    atas.”
     
    Ratana menambah, kebimbangan utama termasuk kerosakan pada platform dan keretakan di dinding, yang membolehkan air meresap masuk semasa musim hujan.
     
    Untuk memastikan kestabilan kuil, pakar-pakar ANA sedang giat berusaha untuk mengukuhkan kedua-dua dinding bata dalam dan luar, katanya, sambil menambah usaha pemulihan akan menumpukan pada pembaikan dan penyelenggaraan tiang, serta menutup retakan bagi mengelakkan peresapan air selanjutnya.
     
    “Langkah-langkah itu bertujuan untuk mengukuhkan menara G15 dan mengekalkan kepentingan sejarahnya untuk generasi akan datang,” katanya. 
     
    Dibina pada penghujung abad kesembilan, kuil Phnom Bakheng adalah salah satu kuil utama di Taman Arkeologi Angkor seluas 401km persegi, yang telah dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1992. – Xinhua
     
    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda